Pemandu bas persiaran positif syabu

Suspek (berbaju gelap) direman dua hari untuk siasatan lanjut.
A
A

BALIK PULAU - Pemandu bas persiaran yang merempuh empat buah kenderaan di persimpangan Jalan Dato Ismail Hasyim, Bayan Lepas petang semalam didapati positif dadah.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan ketika dihubungi berkata, ujian saringan awal air kencing suspek mendapati positif dadah jenis syabu.

Beliau berkata, suspek juga didapati tiada lesen memandu bas secara sah.

Sehubungan itu suspek direman dua hari untuk siasatan lanjut berhubung kemalangan maut tersebut.

Bas persiaran yang dipandu suspek merempuh empat kenderaan lalu melanggar tembok sebuah rumah dalam kejadian petang semalam.
Bas persiaran yang dipandu suspek merempuh empat kenderaan lalu melanggar tembok sebuah rumah dalam kejadian petang semalam.

Majistret Ahmad Tajuddin mengeluarkan perintah reman itu ke atas suspek yang berusia 49 tahun di Mahkamah Majistret Balik Pulau di sini pagi tadi.

Terdahulu suspek yang memakai kemeja gelap dan seluar denim dibawa ke lokap mahkamah bagi mendapat perintah reman oleh sepasukan polis kira-kira jam 7.30 pagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Seorang maut, tiga parah dirempuh bas persiaran

Dalam kejadian petang semalam seorang penunggang motosikal maut manakala tiga lagi parah dirempuh bas persiaran di persimpangan Jalan Dato Ismail Hasyim, Bayan Lepas.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, bas persiaran yang datang dari arah Persiaran Kelicap menuju ke Bayan Lepas dikatakan hilang kawalan sebelum bergesel dengan sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan dan merempuh sebuah lagi kereta dipandu seorang wanita bersama dua anaknya.

Bas itu kemudiannya merempuh sebuah motosikal yang diparkir di tepi jalan dan merempuh penunggang motosikal yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat.

Bas berkenaan terus bergerak dan merempuh tembok batu pagar perumahan di kawasan berhampiran.

Akibat kejadian itu, penunggang motosikal, Muhammad Saifullah Muhammad Hafiez,16, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta bersama dua anaknya yang mengalami cedera dikejarkan ke hospital.

Pemandu bas ditahan untuk siasatan lanjut selain menunggu keputusan ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadapnya.