Warga emas maut jatuh dalam tiub lava

Tiub lava biasa ditemui di Hawaii dengan permukaannya dilindungi oleh semak atau dedaunan.
A
A

HONOLULU - Seorang lelaki maut selepas terjatuh ke dalam tiub lava, sebuah terowong yang terbentuk akibat letusan gunung berapi ketika sedang mencantas pokok rumahnya di Hawaii.

Jurucakap polis berkata, mangsa yang berusia 71 tahun itu dipercayai terjatuh kira-kira 7 meter di kawasan tanah yang lembut.

"Lelaki tersebut ditemui selepas beberapa rakannya membuat laporan apabila tidak melihat mangsa selama beberapa hari.

"Anggota bomba terpaksa turun ke dalam jurang itu untuk mengeluarkan mangsa," katanya.

Difahamkan, tiub lava terbentuk apabila lava sejuk mengeras pada bahagian atas tetapi terus mengalir dan menyejuk di bawahnya.

Menurut National Geographic, tiub lava sering terbentuk dalam beberapa hari dan minggu, malah ia tidak sama dengan pembentukan gua di mana ciri geologi gua adalah lebih perlahan.

Apabila aliran lava mengalir ke lautan ia meninggalkan terowong atau lorong berliku (maze) yang biasanya sepanjang lebih 64 kilometer. - Agensi