Hukum sebar gambar, video orang lakukan maksiat

HUKUM menyebarkan gambar orang yang melakukan dosa adalah haram kerana ia termasuk dalam mengaibkan saudara seagama. -Foto: unsplash.com
A
A

DALAM dunia internet tanpa sempadan, kita terdedah dengan pelbagai maklumat termasuklah gambar dan video yang tular.

Lebih memburukkan keadaan jika perasaan teruja menguasai diri hinggakan kita berkongsi maklumat, gambar atau video yang membuka aib orang tanpa disedari.

Perasan atau tidak, kadangkala ada gambar atau video yang memaparkan perlakuan maksiat oleh si pelaku tersebar.

Ya, barangkali niat kita untuk menyebarkan perkara itu baik iaitu dengan tujuan untuk memberi pengajaran kepada orang lain.

Namun, bolehkah kita menyebarkannya? Apakah hukumnya menyebarkan gambar atau video pelaku maksiat untuk memberikan pengajaran kepada orang lain?

Sebelum menjawab persoalan itu, perlu difahami bahawa dalam Islam, mencegah kemungkaran yang berlaku sebenarnya merupakan satu kewajipan.

Firman ALLAH SWT: "Kamu ialah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran dan beriman kepada ALLAH." (Surah Ali 'Imran, ayat 110)

Justeru, umat Islam diwajibkan untuk mencegah kemungkaran, tetapi bukan kepada si pelaku tadi.

Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa dalam kalangan kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Jika dia tidak mampu, maka hendaklah mengubahnya dengan lidahnya. Jika dia tidak mampu, maka hendaklah mengubahnya dengan hatinya. Itu adalah selemah-lemah iman." (Riwayat Muslim)

Hakikatnya menghina dan mencerca pelaku dosa tidak bertepatan dengan etika mencegah kemungkaran mengikut sunah Nabi Muhammad SAW.

Bahkan, ia termasuk dalam perbuatan yang disukai oleh syaitan.

Abdullah bin Mas'ud berkata: "Jika kamu melihat saudara kamu melakukan sesuatu dosa, maka janganlah kamu menjadi pembantu syaitan ke atasnya dengan kamu berkata kepadanya 'Ya ALLAH celakakanlah orang itu! Ya ALLAH laknatlah orang itu!'. Tetapi hendaklah kamu mendoakan pelaku dosa itu agar dia diampunkan oleh ALLAH.

"Sesunguhnya kami para sahabat Nabi Muhammad SAW tidak akan melabelkan seseorang itu hingga dapat disahkan bagaimana akhir hayat orang itu.

"Jika dia mati dalam keadaan yang baik, maka kami tahu dia telah memperoleh kebaikan, tetapi jika dia mati dalam keadaan yang jahat dan buruk, maka kami akan sembunyikan keburukan itu.”

Oleh itu, hukum menyebarkan gambar orang yang melakukan dosa adalah haram kerana ia termasuk dalam mengaibkan saudara seagama.

Perbuatan itu juga termasuk dalam membantu syaitan menyebarkan maksiat di atas muka bumi ini.

Walaupun niat kita pada asalnya agar orang lain mengambil pengajaran, ia sebenarnya tidak menghalalkan perbuatan yang haram tersebut.

Justeru, berhati-hatilah jika mahu menyebarkan sesuatu gambar mahupun video.

Jangan sampai kita membuka aib orang lain.

(Sumber: Portal Soal Jawab Agama, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang)