Kementerian Pendidikan perkasa bahasa Melayu di seantero dunia

Mohd Gazali berucap pada Majlis Pelancaran GDBK Peringkat Kebangsaan di Wisma DBP semalam. Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR
Mohd Gazali berucap pada Majlis Pelancaran GDBK Peringkat Kebangsaan di Wisma DBP semalam. Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan berhasrat menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa keenam paling banyak digunakan di seantero dunia.

Ketua Setiausahanya, Datuk Dr Mohd Gazali Abas berkata, kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Luar Negeri bagi memastikan hasrat itu mampu direalisasikan.

“Kita juga akan libatkan Kementerian Luar Negeri supaya di seluruh dunia kita boleh pupuk penggunaan dan penguasaan bahasa Melayu.

“Di samping itu, di universiti luar negara kita akan wujudkan lebih banyak kursus bahasa Melayu supaya ia menjadi bahasa antarabangsa walaupun kita tahu bahasa ini telah menjadi bahasa antarabangsa.

“Tetapi kita nak tinggikan martabatnya. Kita mahu bahasa Melayu menjadi bahasa keenam terluas penggunaannya di seantero dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan (GDBK) Peringkat Kebangsaan di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini semalam.

Mohamed Hatta (kiri), Mohd Gazali dan Abang Sallehuddin menyempurnakan gimik pelancaran GDBK di Wisma DBP di ibu negara semalam.Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR
Mohamed Hatta (kiri), Mohd Gazali dan Abang Sallehuddin menyempurnakan gimik pelancaran GDBK di Wisma DBP di ibu negara semalam.
Mohamed Hatta (kiri), Mohd Gazali dan Abang Sallehuddin menyempurnakan gimik pelancaran GDBK di Wisma DBP di ibu negara semalam.Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR Mohamed Hatta (kiri), Mohd Gazali dan Abang Sallehuddin menyempurnakan gimik pelancaran GDBK di Wisma DBP di ibu negara semalam.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom; Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran dan Sasterawan Negara, Dr Siti Zainon Ismail.

Artikel Berkaitan:

Mohd Gazali berkata, penganjuran program memperkasakan bahasa kebangsaan itu membuktikan iltizam DBP dalam memartabatkan Bahasa Melayu bukan saja di Malaysia malah seluruh dunia.

“Iltizam DBP terserlah bersama dengan komuniti yang sama-sama mendokong penggunaan bahasa Melayu. Hari ini kita nampak banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ambil bahagian.

“Itulah yang kita mahu selain usaha daripada kerajaan sendiri. Ini menjadi satu testimoni bagaimana kita bersama-sama menyemarakkan lagi penggunaan bahasa Melayu,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai program diatur sepanjang GDBK antaranya kempen membaca yang akan diterajui DBP.

“Pihak lain seperti kementerian bersama-sama menggembleng usaha membantu kita,” katanya.