Budaya tikam-menikam banyak: Rosyam Nor

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelakon yang juga usahawan terkenal, Datuk Rosyam Nor berharap budaya tikam-menikam dan cubaan menjatuhkan perniagaan orang lain dihapuskan dalam diri setiap individu terutama dalam kalangan usahawan.

Memetik laporan Astro Awani, beliau berkata, tindakan itu disifatkan sebagai satu persaingan tidak sihat yang tidak sepatutnya wujud dalam keusahawanan dan perniagaan.

"Budaya tikam-menikam dan jatuh-menjatuh ini saya rasa memang ada dan banyak. Mungkin melalui kata-kata atau pun dalam sekarang ini di media sosial dan saya rasa itu tak sihat.

"Jadi, saya nak sarankan kepada semua bahawa apa yang kita buat pada orang, ALLAH akan buat balik," katanya.

Katanya, persaingan sihat dan tidak sihat berlaku dalam masyarakat pelbagai kaum dan bukan hanya melibatkan usahawan Bumiputera.

"Ini berlaku dalam semua bangsa dalam dunia, di Malaysia juga. Itu dinamakan persaingan. Namun sama ada persaingan itu sihat atau tidak. Kalau yang menjadi tidak sihat itu ialah apabila kita cuba menjatuhkan perniagaan seseorang itu tidak sihat.

"Namun kalau kita bersaing secara cantik, kita mungkin dapat rasa cemburu kejayaan seseorang, itu akan menyedarkan diri kita bagaimana untuk kita turut berjaya seperti orang itu. Kalau kita cuba menjatuhkan perniagaan orang, perniagaan kita juga akan jatuh," katanya.

Sebelum ini, heboh di media sosial mengatakan pasar raya ST Rosyam Mart dimiliki oleh peniaga bukan Melayu, manakala Rosyam dijadikan duta hanya untuk menarik pasaran Melayu.

Artikel Berkaitan:

Rosyam dan pihak ST Rosyam Mart Sdn Bhd dijangka mengadakan sidang media esok bagi menjelaskan isu tersebut.