RedONE penaja utama Terengganu FC musim 2020

Farid (dua dari kiri) bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian kontrak penaja utama PBSNT musim 2020 di Kuala Terengganu baru-baru ini.
Farid (dua dari kiri) bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian kontrak penaja utama PBSNT musim 2020 di Kuala Terengganu baru-baru ini.
A
A
A

SYARIKAT telekomunikasi Red One Network Sdn Bhd (redONE) sah menjadi penaja utama Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) bagi mengharungi perlawanan pada musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutif redONE, Farid Yunus berkata, pemilihan PBSNT adalah satu keputusan tepat bagi syarikatnya merancakkan pembangunan bola sepak di Terengganu selain usaha melebarkan perniagaan mereka di negeri ini.

Menurutnya, penajaan syarikatnya bagi pembangunan bola sepak dalam negara bukan sesuatu yang baharu kerana sebelum ini pihaknya pernah menaja pasukan dari negeri Kelantan dan Selangor.

“Kita pilih PBSNT kali ini sebab kita tertarik dengan pasukan bola sepak Terengganu dengan dedikasi dan aspirasi mereka. Profesionalisme mereka juga memang sukar dibandingkan.

“Kita memang dipelawa oleh pasukan negeri lain tetapi pada akhirnya kita membuat keputusan untuk memilih PBSNT kerana paling sesuai dengan redONE, selain melebarkan perniagaan syarikat di negeri ini.

“Penajaan dengan pasukan bola sepak negeri lain (sebelum ini) mereka nak duit penajaan saja tetapi dengan pasukan Terengganu kali ini kita turut berkolaboratif untuk memberikan kemahiran keusahawanan bagi anak Terengganu,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian kontrak penaja utama PBSNT musim 2020 di Wisma Seri Amar di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim dan Ketua Pegawai Pemasaran redONE, Ben Teh.

Farid berkata, jumlah penajaan dikeluarkan syarikatnya bagi penajaan PBSNT kali ini adalah paling tinggi dilakukan berbanding penajaan bagi pasukan Kelantan dan Terengganu sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun, kita tidak dapat umum buat masa ini kerana banyak perincian masih belum diselesaikan. Dalam perbincangan ada jumlah bayaran tunai diberikan supaya mereka boleh mula cari pemain dan sebagainya.

“Kita juga tidak meletakkan sebarang sasaran bagi penajaan ini. Biasanya kita tidak taja untuk satu tahun saja, paling kurang dua atau tiga tahun, takkan nak capai sasaran dalam masa singkat dan kalau tak sampai sasaran kita terus batalkan penajaan. Jadi penajaan ini adalah untuk capai sasaran bagi jangka masa panjang,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, syarikat berkenaan adalah penaja pertama mengesahkan penajaan bagi PBSNT musim depan.

“Kita sangat mengalu-alukan kehadiran redONE dan berharap penyokong terus menyokong Terengganu FC (TFC) dan juga perniagaan penaja kita.

“Peruntukan yang diperlukan untuk perbelanjaan menguruskan lima pasukan termasuk futsal di bawah PBSNT mencecah RM25 juta setahun sepatutnya tetapi dengan langkah penjimatan yang dilakukan, ia dikurangkan kepada RM20 juta.

“Kita masih mengalu-alukan penaja lain untuk membantu pasukan dan penaja lama Insya-ALLAH masih kekal,” katanya.