63.3 peratus kes rasuah libatkan sektor awam: SPRM

Azam Baki
Azam Baki
A
A
A

LABUAN - Satu kajian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan 63.3 peratus aduan yang diterima adalah berkaitan sektor awam yang menjadikan sektor itu sebagai sektor paling terdedah kepada gejala rasuah di negara ini.

Kajian di antara 2013-2018 itu menunjukkan 42.8 peratus aduan diterima berkaitan sektor perolehan, 23.9 peratus penguatkuasaan manakala 8.69 peratus pelesenan dan permit, menjadikan ketiga-tiga sektor ini menyumbang sebanyak 75.39 peratus jumlah aduan yang diterima SPRM.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, berdasarkan statistik siasatan yang dikeluarkan Bahagian Pengurusan Rekod dan Maklumat SPRM sepanjang tahun 2019, sebanyak 2,526 maklumat berkaitan salah-laku rasuah penjawat awam telah diterima SPRM dan menghasilkan pembukaan 480 kertas siasatan, 463 tangkapan serta 145 pertuduhan.

Daripada jumlah itu 424 maklumat atau 16.8 peratus melibatkan agensi penguatkuasa yang menghasilkan 119 kertas siasatan dibuka atau 24.8 peratus daripada jumlah kertas siasatan dibuka ke atas penjawat awam seterusnya melibatkan 172 tangkapan serta 49 pertuduhan di mahkamah.

Bercakap di Program Perangi Rasuah Bersama Agensi Penguatkuasa di Sekolah Antarabangsa Labuan, Azam mendedahkan isu rasuah oleh penguatkuasa di lautan telah menjejaskan hasil pendapatan negara dan kemerosotan industri perikanan dan pendapatan nelayan.

Azam berkata, pencerobohan nelayan asing perairan negara juga menjadi antara penyumbang kepada kerugian kepada negara dan juga para nelayan tempatan.

“Perkara ini berlaku disebabkan oleh kurangnya aspek penguatkuasaan memantau pencerobohan bot-bot nelayan asing,” katanya.

Katanya lagi faktor lain adalah penyalahgunaan lesen dan permit bot di mana terdapat segelintir pihak di negara ini yang menjual lesen dan permit bot perikanan kepada nelayan nelayan asing demi mengaut keuntungan sehingga menyebabkan mereka ini bebas masuk keluar untuk menangkap ikan di perairan negara ini.

Artikel Berkaitan:

“Berdasarkan faktor-faktor ini dua faktor utama yang melibatkan penguatkuasaan adalah pencerobohan nelayan asing di perairan negara dan juga penyalahgunaan lesen dan permit yang dikeluarkan oleh kerajaan yang mana ianya dijual kepada nelayan asing untuk mengaut keuntungan,” katanya.

Azam berkata, hasil siasatan dan operasi SPRM juga mendapati ianya melibatkan rangkaian dari peringkat kapal nelayan asing, pemilik bot asing, orang tengah, pegawai agensi penguatkuasaan yang akhirnya bot yang ditahan akan dilepaskan.

“Hasil siasatan dan operasi yang dijalankan oleh SPRM berhubung modus operandi ini, seramai 23 orang telah berjaya ditahan melibatkan pegawai kerajaan, orang awam dan juga warganegara asing.

“Sebanyak RM1.949 juta wang tunai berjaya disita sepanjang operasi dijalankan serta RM2 juta bagi melibatkan pelbagai akaun bank berjaya dibekukan,” katanya. - Bernama