Transaksi tanpa tunai kawal gejala rasuah

cashless
MUHAMMAD FAIRUZ ABD RAUF
A
A

MALAYSIA juga tidak ketinggalan untuk mempraktikkan pendekatan pembayaran tanpa tunai (cashless) bahkan negara kini menuju ke arah masyarakat tanpa tunai (cashless society).

Pensyarah Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran Unisel Kampus Bestari Jaya, Muhammad Fairuz Abd Rauf menyifatkan, pendekatan pembayaran tanpa tunai terbukti mampu mengawal gejala rasuah dan sindiket penipuan 'black money'.

Menurutnya, kaedah tersebut boleh mengesahkan sesuatu transaksi termasuk jumlah pendapatan dan cukai yang perlu dibayar. Dengan kelebihan itu, aliran wang bagi sesuatu urus niaga akan menjadi lebih telus.

“Seperti yang ditekankan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu negara ke arah masyarakat tanpa tunai, sistem tanpa tunai berupaya menghalang aktiviti menyogok dan sebagainya kerana transaksi melalui platform digital itu direkodkan bank dan lain-lain sistem.

"Dalam Bajet 2020 juga, kerajaan akan memberikan secara one-off RM30 menerusi e-Wallet kepada rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang mempunyai pendapatan tahunan kurang daripada RM100,000 bagi merangsang pertumbuhan masyarakat tanpa tunai,” jelasnya.

Tidak dinafikan, penggunaan kaedah pembayaran digital di bandar-bandar besar di Malaysia juga dilihat semakin popular dengan pelbagai perkhidmatan ditawarkan termasuk Paywave, Boost, Scan2pay, WeChat pay, Touch n Go eWallet, Grabpay dan lain-lain.

Sebagai contoh, pasar malam di Taman Connaught merupakan pasar malam pertama yang menggunakan aplikasi Scan2Pay.

Di Pulau Pinang, sebanyak 19 penjual pasar tani di Taman Guar Perahu juga menawarkan pilihan pembayaran secara Touch ‘n Go eWallet.

Perubahan kaedah pembayaran ke arah digital itu, menurut Muhammad Fairuz, menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia sudah mula menerima kaedah pembayaran secara digital kerana ia lebih praktikal dan mudah.

“Walaupun kaedah cashless dilihat dapat memudahkan urusan seharian, terdapat beberapa kemusykilan yang perlu diperjelaskan terutama faktor keselamatan (dari segi transaksi dan maklumat peribadi).

“Bagi memastikan kaedah itu selamat untuk disimpan dan digunakan, pengguna perlu menyimpan kad debit atau kredit yang menawarkan perkhidmatan secara Paywave dalam dompet yang mempunyai kelebihan menghalang bacaan RFID atau RFID-blocking wallets,” katanya.

RFID-blocking wallets ujarnya, direka bentuk untuk menghalang isyarat RFID yang terdapat pada kad debit atau kredit pengguna daripada dibaca oleh peranti luar.

Walaupun perkembangan pembayaran tanpa tunai di Malaysia dianggarkan sehingga RM83.8 billion sehingga tahun 2024, namun perlu diingatkan bahawa ciri-ciri keselamatan juga perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa demi memastikan pengguna berasa yakin dan selamat untuk menggunakannya.

Bagi menjawap persoalan keraguan terhadap penggunaan kaedah tanpa tunai yang boleh menimbulkan risiko digodam, beliau menegaskan, kaedah pembayaran tanpa tunai yang boleh diakses daripada telefon mudah alih seperti NFC perlu dipastikan selamat terlebih dahulu.

“Selain faktor keselamatan, isu seperti pendedahan maklumat peribadi kepada pihak ketiga juga perlu dibendung dan kerajaan telah memperkenalkan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 sebagai perlindungan kepada maklumat peribadi seseorang yang diproses untuk tujuan transaksi komersial.

“Walaupun pelbagai kaedah diperkenalkan bagi memastikan kaedah tersebut selamat, ia menjadi tanggungjawab kepada pengguna untuk memastikan peranti yang digunakan untuk melakukan transaksi tidak terdedah kepada ancaman penggodam atau pencuri.

“Pengguna tidak seharusnya melakukan transaksi menggunakan wifi awam kerana ia menyebabkan pengguna terdedah kepada ancaman penggodam,” katanya.

Ujar Muhammad Fairuz, pihak bank juga perlu meningkatkan ciri-ciri keselamatan pada kad Paywave kerana terdapat kes yang mana apabila dompet pengguna kad itu hilang dan disalah guna individu tidak bertanggungjawab.

“Kerajaan juga seharusnya mengawal perkembangan syarikat-syarikat yang menawarkan perkhidmatan cashless di Malaysia kerana ia muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan," katanya.