Hebatnya adik-adik bersilat!

Peserta sedang bertarung dengan pihak lawan.
Peserta sedang bertarung dengan pihak lawan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Pasukan silat Pertubuhan Silat Tarung Tapan Tiga Malaysia mengharumkan nama Terengganu apabila muncul juara keseluruhan dalam Kejuaraan Silat Tanding Jemputan Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan di Kajang, Selangor Ahad lalu.

Pasukan gabungan lapan sekolah rendah di Kemaman itu berjaya mengalahkan 34 pasukan dari seluruh negara dalam kejohanan yang berlangsung selama tiga bermula 1 November di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sekamat, Kajang.

Lapan sekolah tersebut adalah SK Pusat Kemaman, SK Bukit Mentok, SK Bukit Anak Dara, SK Bukit Kuang, SK Bandar Baharu, SK Mak Lagam, SK Seri Iman dan SK Chukai melibatkan 63 pesilat muda berusia antara tujuh hingga 12 tahun.

Salah seorang peserta sedang beraksi.
Salah seorang peserta sedang beraksi.

Pengurus pasukan, Liza Juliana Mohd Yasin berkata, mereka berada pada kedudukan tertinggi dengan merangkul 12 pingat emas, tiga perak dan 10 gangsa sekali gus membawa pulang piala utama dan sijil penyertaan.

Menurutnya, kejayaan itu hasil latihan berterusan pesilat dan bimbingan enam jurulatih berpengalaman iaitu Siti Fauziah Amir, Syukri Saidi, Nurul Shuhada Mohd Alwi, Muhd Haiqalzullah, Norzaky Amirrul Ammry Zakaria dan Mohd Asyraf Mamat.

Jurulatih dan guru penasihat pasukan.
Jurulatih dan guru penasihat pasukan.

“Pesilat ini menjalani latihan setiap hari Ahad hingga Khamis bermula jam 5 hingga 6.30 petang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai di bawah program 1 Sekolah 1 Silat yang dilaksanakan Kementerian Pelajaran (KPM).

Artikel Berkaitan:

“Selain itu kami turut mendapat sokongan padu dari guru utama, Ahmad Nesfu Jusoh yang juga pengerusi pertubuhan dan Pengerusi Biro 1 Sekolah 1 Silat Terengganu,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi hari ini.

Selain kejohanan di Selangor Liza Juliana berkata, pasukan itu turut merangkul gelaran juara keseluruhan dini pada Kejuaraan Terbuka Antarabangsa Silat Cekak Harimau Malaysia Kali ke-2 yang berlangsung pada 13 hingga 16 September lalu di Temerloh, Pahang.

Sebahagian peserta Kejuaraan Silat Tanding Jemputan Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan.
Sebahagian peserta Kejuaraan Silat Tanding Jemputan Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan.

“Kita berbangga dengan kemenangan ini dan harap pesilat mengekalkan kecemerlangan silat untuk berdepan Kejuaraan Silat Kebangsaan Piala Menteri Besar pula pada bulan depan di Kompleks Sukan Gong Badak.

“Ini juga salah satu usaha kita memartabatkan sukan silat dalam kalangan pelajar sekolah,” katanya yang juga guru penasihat bersama Mohd Shariman Hamdan, Amir Husnie Abd Ghani, Siti Rosnah Ya’akob, Muhammad Faris Mohd Nor dan Nur Fatiha Akmal Yusah.