Isu zakat kepada bukan Islam tak patut dibangkitkan: Mufti

Mohd Yusof
Mohd Yusof
A
A
A

SEREMBAN - Tidak sepatutnya timbul isu pemberian wang zakat kepada orang bukan Islam kerana telah ditetapkan dalam al-Quran dan hadis ia hanya untuk umat Islam daripada lapan golongan termasuk asnaf, fakir, miskin dan mualaf.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, tambahan pula wang zakat itu adalah hasil kutipan daripada orang Islam yang kaya atau cukup nisab hartanya.

“Zakat itu diwajibkan kepada orang Islam yang mampu. Ia kemudian diagihkan semula kepada lapan golongan dinyatakan dan ia tidak termasuk orang bukan Islam.

“Ia berbeza dengan kutipan cukai yang mana ia dikutip dari sumber rakyat tanpa mengira kaum dan hasilnya diberi semula kepada semua.

“Jika mahu laksana konsep zakat kepada orang bukan Islam, kutiplah daripada orang bukan Islam yang kaya dan agihkan kepada kaum mereka yang susah tetapi bukannya ambil dari wang zakat orang Islam,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

ARTIKEL BERKAITAN: Perlis putus wang zakat boleh beri kepada bukan Muslim

Tiada agihan zakat untuk bukan Muslim di Pahang: Mufti Pahang

Agihan zakat hanya untuk asnaf Islam: Mufti Selangor

Pemimpin politik jangan polemik isu zakat

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya institusi zakat melakukan pembaharuan dengan memperluaskan bantuan kepada orang bukan Islam.

Mengulas lanjut, Mohd Yusof berkata, orang Islam sepatutnya menerangkan kepada orang bukan Islam bagaimana wang zakat itu dikutip dan diagihkan supaya mereka lebih faham.

Nasihat Ahmad Yusof kepada orang politik, jangan kerana mahu mencari pengaruh atau mendapatkan undi daripada orang bukan Islam sehingga sanggup mengenepikan hukum agama.

Artikel Berkaitan:

“Saya dapati sesetengah orang politik beragama Islam ini bila mahu bercakap soal berkaitan agama kita, sangatlah mahu menjaga hati orang bukan Islam sehingga apa yang ditetapkan al-Quran dan hadis itu diketepikan.

“Kita walau macam mana pun, hukum Islam itu mesti kita berpandukan apa yang diputuskan dalam al-Quran dan hadis. Bukannya nak ikut pemikiran kita saja,” katanya.

Menyentuh mengenai titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menegaskan bahawa kutipan zakat di Selangor adalah khusus untuk umat Islam sahaja, beliau berkata, kenyataan baginda adalah menguatkan lagi apa yang dinyatakan dalam al-Quran dan hadis.