Tanjung Piai dan kesepakatan BN

A
A

KEMPEN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P. 165 Tanjung Piai sudah bermula. Tanpa diduga Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional sepakat mencalonkan Wee Jeck Seng daripada parti MCA biarpun UMNO dilihat sangat selesa untuk berhadapan dengan pengundi di kawasan Parlimen majoriti Melayu itu.

Tetapi itulah tradisi keserakanan yang terus mekar wujud dalam BN sejak sekian lama. Menghormati kewujudan rakan komponen dalam realiti Malaysia yang majmuk dan pelbagai. MCA adalah parti pengasas negara bersama UMNO, MIC dan juga Pas.

MCA bukan sekadar mengasaskan Perikatan, tetapi jauh daripada itu bersama-sama rakan komponen lain berganding bahu mengasaskan Perlembagaan Merdeka 1948 dan 1957 serta mendokong pembentukan Malaysia pada 1963.

Ini adalah sejarah yang tidak akan dilupakan, malah menjadi satu tinta emas abadi kepada negara. Biarpun keindukan Melayu dan Islam merupakan suatu prasyarat kepada kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi, namun penyertaan MCA dan MIC adalah satu keperluan bagi Malaysia yang majmuk dan berbilang kaum dan agama.

Itulah juga resipi utama kepada kejayaan Malaysia sejak 60 tahun lalu. Walaupun sokongan rakyat kepada BN pada setiap kali pilihan raya umum adalah warna warni sifatnya, tetapi pasak dan asas kepada sumber inspirasi ikatan kenegaraan ini tidak pernah pudar.

BN kini hanya tinggal tiga sahaja parti pengasasnya. Tetapi perlu diingat ketika Perikatan dan BN bermula, tiga parti itu jugalah yang komited memegang kejap ikatan hubungan antara kaum di Malaysia.

Sepakat

Bunyinya mungkin kedengaran agak sentimental dan klasik. Tetapi tiada siapa pun dapat menafikan kejayaan ketiga-tiga parti itu sejak sekian lama. Model kesepakatan dan musyawarah BN telah terbukti berjaya. Kini di Tanjung Piai, BN dan Pas perlu bekerja keras membuktikan bahawa model politik yang dibawa Pakatan Harapan (PH) semakin buntu dan menemui kegagalan.

PH mengemukakan model politik yang canggung sehingga hari ni telah menyebabkan berlakunya pelbagai masalah. Daripada kegagalan pengurusan ekonomi, keretakan hubungan kaum, ketajaman sentimen agama sehinggalah kepada ketidakstabilan politik yang merencatkan pertumbuhan ekonomi.

Apa sebenarnya masalah PH? Kenapakah ini semua berlaku? Adakah ini semua nak dilonggokkan kepada kerajaan terdahulu atau kerana ketidakmampuan mereka sendiri dalam mengurus tadbir negara?

Jawapan yang paling mudah adalah kerana telah tercabutnya akar dan asas kenegaraan yang tertanam sejak sekian lama yang digantikan dengan kerangka baharu yang serba tidak kena dan tidak menjadi.

Oleh yang demikian, tugas BN di Tanjung Piai adalah untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap BN dan mempamerkan keinklusifan Muafakat Nasional yang tidak hanya tertumpu kepada satu kaum sahaja.

Rakyat perlu disedarkan betapa perlunya Malaysia kembali kepada acuannya yang asal berteraskan keindukan Melayu-Islam dan bercirikan Malaysia. Model ini bukanlah suatu model politik usang seperti yang cuba dipotretkan oleh sesetengah pihak. Tetapi suatu model yang telah terbukti berjaya membina Malaysia sejak sekian lama.

Mana-mana model politik baharu sekalipun wajib berteraskan acuan Malaysia yang asal. Acuan tersebut tidak bersifat rigid, tetapi sangat fleksibel dan anjal sesuai dengan keperluan Malaysia dan perubahan cara hidup rakyat secara global pada hari ini.Kegagalan yang nyata bagi PH adalah mereka tidak mempunyai acuan yang kukuh dan ampuh kepada pembinaan model politik baharu yang mereka cadangkan.

Akhirnya lahirlah Malaysia yang haru biru dan tidak ketahuan seperti hari ini. Moga ALLAH merahmati perjuangan BN dan Muafakat Nasional di Parlimen Tanjung Piai.