Wartawan dibunuh: Dua lelaki ditahan

Mayat Maratua Siregar (kiri) dan Maraden Sianipar ditemui dengan kesan luka tikaman.
A
A

MEDAN - Dua lelaki dilaporkan ditahan berhubung pembunuhan kejam dua wartawan Indonesia yang menjadi pengantara dalam pertikaian antara sebuah syarikat minyak kelapa sawit dan penduduk tempatan, kata pihak berkuasa hari ini.

Menurut polis, pihaknya menahan dua orang suspek dan sedang mencari empat lagi suspek, mereka berkemungkinan berdepan hukuman mati sekiranya didakwa dan didapati bersalah atas tuduhan membunuh.

"Motif adalah balas dendam dan ia dikaitkan dengan pertikaian tanah ladang kelapa sawit," kata ketua detektif tempatan, Jama Kita Purba sambil menambah butiran kes masih disiasat.

Terdahulu, mayat Maraden Sianipar ditemui pada Rabu lalu dalam sebuah parit di daerah Labuhan Batu kira-kira lapan jam perjalanan dari ibu kota Sumatera Utara, Medan.

Sementara mayat Maratua Siregar ditemukan di lokasi sama sehari kemudian.

Mayat kedua-dua wartawan terbabit dipenuhi dengan kesan luka tikaman. - AFP

ARTIKEL BERKAITAN: Dua wartawan mati ditikam di Indonesia