Gagal seludup daun sirih

Daun sirih yang dirampas selepas cuba dibawa masuk melalui LTABL semalam.
Daun sirih yang dirampas selepas cuba dibawa masuk melalui LTABL semalam.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Cubaan seorang lelaki warga Indonesia membawa masuk 10 kilogram (kg) daun sirih ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL) gagal apabila berjaya dikesan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang, tengah hari semalam.

Pengarah Maqis Pulau Pinang, Zarina Ramli berkata, lelaki berusia 40-an itu yang baru tiba dari Medan pada jam 12 tengah hari ditahan selepas pegawai penguat kuasa Maqis menemukan beberapa ikat daun sirih yang disimpan di dalam bagasinya.

Difahamkan, daun sirih berkenaan dibawa masuk ke negara ini untuk dijual dan mendapat permintaan dalam kalangan warga asing yang bekerja di sini selain dia juga dikesan cuba membawa masuk 6.42kg tembakau.

"Perbuatan mengimport produk hasilan pertanian tanpa permit yang sah adalah menjadi suatu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta728] yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) Akta yang sama.

"Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya menerusi satu kenyataan di sini.

Mengulas lanjut katanya, tindakan membawa masuk daun sirih ke negara ini memerlukan import permit yang dikeluarkan oleh Maqis dan sijil fitosanitasi daripada jabatan pertanian negara pengimport.

Sementara itu Zarina berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang lain bagi mengawal aktiviti import dan eksport dalam memastikan biosekuriti dalam negara sentiasa dalam keadaan selamat.

Katanya, tembakau yang dirampas diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

Artikel Berkaitan: