ADUN Lobak dakwa nama disalah guna

Seh Yong ketika mengadakan sidang akhbar di pejabatnya hari ini.
Seh Yong ketika mengadakan sidang akhbar di pejabatnya hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lobak, Chew Seh Yong menafikan beliau ada melantik ejen untuk mengutip bayaran terhadap khidmat komunitinya kepada rakyat di kawasannya.

Seh Yong berkata, beliau hanya mengetahui perkara itu apabila dihubungi polis untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban Sabtu lalu, berhubung satu laporan kes ugut yang melibatkan namanya.

"Saya diberitahu polis, pengadu iaitu pemilik sebuah pusat hiburan mendakwa didatangi lelaki tidak dikenali yang meminta bayaran RM1,800 dan jika tidak, saya kononnya akan datang buat pemeriksaan di premisnya.

"Saya terkejut apabila dikaitkan dengan kes itu dan sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat, itu kejadian pertama nama saya disalah guna," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya semalam.

Seh Yong berkata, khidmatnya kepada rakyat adalah ikhlas kerana mereka telah memberi kepercayaan kepadanya dengan mengundi beliau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menurutnya, beliau juga membuat laporan polis di IPD Seremban kerana bimbang namanya terus disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Saya juga mahu menasihatkan masyarakat khusus penduduk di kawasan DUN (Dewan Undangan Negeri) Lobak supaya tidak mempercayai jika ada mana-mana pihak yang mengaitkan nama saya dengan apa jua bentuk ugutan.

"Jika ada kes seperti ini berlaku, segera membuat laporan polis untuk tindakan lanjut atau pusat khidmat saya untuk dapat kepastian," katanya.

Artikel Berkaitan: