Pecah masuk kedai runcit, wanita dijel dua tahun

Tertuduh, Wook@ Muniyati A. Rahman, 39, dijatuhi hukuman dua tahun penjara selepas mengaku bersalah memecah masuk sebuah kedai runcit.
Tertuduh, Wook@ Muniyati A. Rahman, 39, dijatuhi hukuman dua tahun penjara selepas mengaku bersalah memecah masuk sebuah kedai runcit.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang wanita dijatuhi hukuman dua tahun penjara oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memecah masuk sebuah kedai runcit sebelum mencuri pelbagai barang makanan termasuk duit derma melibatkan kerugian keseluruhan RM921.

Tertuduh, Wook @ Muniyati A.Rahman, 39, dari Chendering di sini dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah bagi pertuduhan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana memecah masuk kedai runcit.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memecah masuk kedai runcit (Meat Market), milik Muhammad Izzat Ezmi Khairol Azmie, 26, di Jalan Kelantan, Kampung Tok Jiring, Gong Badak, Kuala Nerus, kira-kira jam 4.14 pagi pada 23 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa melakukan jenayah itu bertujuan untuk mencuri sebanyak 12 paket milo (2 kilogram); empat paket mi segera: 48 tin susu pekat Marigold; 12 tin susu pekat Gold Coin; lima bungkus nescafe paket; duit derma dalam tabung; sebuah telefon bimbit Nokia; peti duit mengandungi wang campur dan duit syiling berjumlah RM50 serta sebuah beg jenama Louis Vuitton (LV).

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohina Din di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Kejadian hanya disedari pemiliknya kira-kira jam 10.30 pagi pada 23 Oktober lalu sejurus tiba di kedainya sebelum mendapati terdapat kesan dimasuki pencuri.

Hasil pemeriksaan seterusnya mendapati beberapa barang makanan termasuk mi segera; milo; susu pekat; nescafe dan lain-lain yang melibatkan nilai kerugian keseluruhan RM921 lesap.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, tertuduh hanya berjaya ditangkap di Kampung Tebauk, Bukit Tunggal kira-kira jam 5.30 petang pada 28 Oktober lalu selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan.

Siasatan mendapati tertuduh terlibat dalam kejadian itu dibantu oleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam kedai berkenaan.