Pulau Pinang tetap teruskan sekolah vernakular

P Ramasamy
P Ramasamy
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang bertegas meneruskan sekolah vernakular di negeri itu selepas mendapati banyak faedah daripada sekolah aliran tersebut.

Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy berkata, sekolah vernakular dapat menerapkan nilai toleransi dalam kalangan pelajar selain meningkatkan perpaduan.

Menurutnya, kerajaan negeri juga serius meneruskan peruntukan kepada sekolah berkenaan.

"Sejak 11 tahun lalu kerajaan negeri menyalurkan peruntukan tahunan sebanyak RM12 juta kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Mubaligh, Cina, Persendirian, sekolah Tamil dan bantuan ini akan diteruskan sehingga tahun depan," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Ramasamy (DAP- Perai) berkata, demikian ketika menjawab soalan lisan M Satees (DAP- Bagan Dalam) mengenai pendirian kerajaan negeri sama ada akan meneruskan sekolah vernakular atau sebaliknya.

Tambahnya, kerajaan negeri tidak bersetuju pendapat sesetengah pihak bahawa sekolah vernakular menjadi penghalang kepada perpaduan masyarakat Malaysia.

"Berdasarkan rekod Jabatan Pendidikan Negeri, populasi murid sekolah vernakular di Pulau Pinang terdiri daripada pelbagai kaum iaitu seramai 3,552 orang pelajar selain Cina dan India.

"Ini menunjukkan sekolah vernakular antara platform bagi pembangunan semangat perpaduan rakyat berbilang bangsa di Pulau Pinang dan Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan:

"Pada tahun ini, kerajaan negeri menyalurkan RM8.4 juta kepada sekolah mubaligh, Cina, Persendirian dan RM2 juta kepada sekolah Tamil. Kerajaan negeri turut memberi perhatian khusus kepada pendidikan agama Islam menerusi peruntukan tahunan sebanyak RM2.5 juta bagi SAR.

"Bantuan ini disalurkan melalui maahad tahfiz, tadika Islam dan sekolah pondok. Kitaharap sekolah di Pulau Pinang dapat merealisasikan hasrat kerajaan negeri melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran, berdaya saing serta mempunyai sahsiah yang tinggi untuk terus memacu pembangunan Pulau Pinang," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pas patut contohi kejayaan sekolah vernakular, kata Halimah