Pas patut contohi kejayaan sekolah vernakular, kata Halimah

Dr Halimah Ali - Foto Asril Aswandi Shukor
Dr Halimah Ali - Foto Asril Aswandi Shukor
A
A
A

KUANTAN - Pas digesa mencontohi kejayaan yang dicipta oleh sekolah vernakular supaya menjadi lebih baik.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Halimah Ali berkata, parti Islam itu perlu mencontohi kejayaan sekolah vernakular di negara ini.

Menurutnya, kaum minoriti Malaysia wajar diberi penghargaan kerana gigih memperjuangkan sistem sekolah vernakular sehingga turut menarik minat orang Melayu dan Islam untuk menghantar anak mereka pusat pendidikan itu.

“Memang kalau kita lihat dalam sejarah, tidak ada mengenai sekolah vernakular dalam Perlembagaan Malaysia.

“Saya secara peribadi mengucapkan setinggi-setinggi tahniah kepada mereka yang telahpun memperjuangkan sekolah vernakular ini.

"Walaupun minoriti, mereka bekerja keras menggembleng tenaga dan berusaha, bersinergi, bersama-sama membangunkan sistem vernakular ini sehingga ada orang Melayu Islam pun turut menghantar anak ke SJKC dan sedikit ke SJKT.

“Inilah yang patut kita lakukan. Kita ahli-ahli Pas, pimpinan Pas, aktivis pendidikan, perlu membuat rukun kejayaan yang telah mereka lalui itu.

“Kita mahu lihat di Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti), Sekolah Rendah Interasi Teras Islam (Striti), Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (Smiti) dan Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) di naik taraf dan mencapai satu piawaian tinggi sehingga orang lain akan tabik kepada kita. Kita mahu produk kita mencapai kejayaan terbaik,” katanya dalam ucapan penggulungan di Muktamar Tahunan Pas ke-65, di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Hal demikian, beliau berkata, sekolah kebangsaan wajar dinaik taraf supaya menjadi sistem yang melahirkan umat yang berkualiti jauh daripada gejala sosial.

“Kita mahu sekolah kebangsaan menjadi sistem yang melahirkan generasi umat yang bukan berkelahi, bukan terjebak dalam gejala sosial, bukan sampai tak sedar gender sendiri dan terikut-ikut dengan trend atau budaya kuning di luar sana.

“Sistem pendidikan akan melahirkan insan yang faham apa itu perpaduan walaupun dalam masyarakat majmuk, ada Cina, ada India dan ada Melayu, kita ilmukan mereka supaya ada jati diri dan mampu hormati antara satu sama lain,” katanya.

Sebelum itu, perwakilan Muslimat Pas, Salamiah Md Nor memberi reaksi berbeza iaitu mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) menghapuskan sistem pendidikan vernakular di negara ini.

Katanya, ini kerana dasar itu tidak menyumbang kepada perpaduan kaum.

Menurutnya, sebelum mengambil alih pentadbiran Putrajaya, pemimpin PH mengatakan tidak selesa dengan sistem berkenaan.

“Saya selaku wakil kepada Dewan Muslimat Pas menyeru dan mengharapkan kerajaan PH mengambil tindakan dan memberhentikan pendidikan vernakular.

“Kita melihat sistem ini tidak mendekatkan kepada jurang persefahaman antara kaum," katanya.