Ubi dan tengkujuh di Terengganu

No Image Caption
A
A
A

BAGI penduduk di pantai timur, antara signal musim tengkujuh sudah bermula tentunya kewujudan deretan gerai ubi di tepi jalan.

Ubi itu biasanya dituai segera sebelum banjir melanda bagi mengelakkan ubi yang ditanam rosak dan tidak berkualiti.

Kaitan ubi dengan musim tengkujuh ini boleh dikatakan budaya masyarakat di pantai timur kerana selain enak diminum bersama kopi O, ia mungkin disebabkan kesukaran mendapatkan bahan mentah pada musim tengkujuh suatu ketika dulu menyebabkan budaya itu berterusan sehingga kini.

Ubi kayu, keledek, keladi, ubi itik, ubi gajah dan ubi kemili antara aneka ubi yang boleh didapati pada musim ini dan tentunya membuatkan penggemarnya tersenyum lebar.

Bagaimanapun, di sebalik keseronokan bercerita tentang ubi, jangan dilupa tentang keperluan untuk bersedia menghadapi banjir pada musim ini.

Terengganu diramal menerima tiga episod hujan lebat bermula pertengahan hingga akhir November ini yang boleh menyebabkan banjir di kawasan berisiko di seluruh negeri terutamanya di Kemaman, Dungun, Besut, Setiu dan Hulu Terengganu.

Menurut Ketua Sekretariat Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, tahun ini Terengganu diramal melalui banjir tahap sederhana sebagaimana pada 2016 dan 2017 yang menyaksikan lebih 110,000 mangsa daripada lebih 31,000 keluarga terjejas banjir dan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri.

Bagi melancarkan penyaluran bantuan dan kerja menyelamat mangsa banjir pada tahun ini, pihak sekretariat telah menambah baik beberapa aspek termasuk latihan kesiapsiagaan agensi penyelamat, selain sistem pengurusan bencana negeri dilaksanakan di peringkat daerah.

Artikel Berkaitan:

Sebenarnya, persiapan banjir ini tidak hanya melibatkan kerja-kerja penyelamatan dan penyaluran bantuan tetapi ia turut merangkumi persiapan teknikal seperti ujian siren tsunami.

Bagi penduduk berhampiran pantai di beberapa lokasi di Terengganu, sebahagiannya sudah maklum akan ujian sistem amaran awal tsunami ini.

Jabatan Meteorologi biasanya melakukan penyelenggaraan dan pemeriksaan secara berkala bagi memastikan peralatan siren tsunami berfungsi dengan baik dan dalam tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi Monsun Timur Laut.

Sistem itu pernah berfungsi ketika berlaku ombak besar sebelum ini, namun kemudian Jabatan Meteorologi memaklumkan tiada ancaman tsunami.

Bagi penduduk pulau, biasanya persediaan lebih awal telah dibuat, terutamanya menambah stok bekalan makanan kerana laut bergelora menyebabkan sukar untuk mereka ke daratan seperti hari biasa.

Pengusaha chalet, resort dan hotel di pulau pula, kebanyakan mereka menutup operasi sepanjang musim tengkujuh atas faktor keselamatan dan mereka mengambil peluang ini untuk membaik pulih dan menyelenggara tempat penginapan mereka.

Bagaimanapun, sekiranya keadaan luar jangka berlaku, persediaan telahpun dibuat agensi berkaitan.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu, Zuhami Omar berkata, bantuan makanan dan barangan keperluan telah diagihkan ke semua 152 pangkalan hadapan, termasuk di pulau-pulau.

Di Pulau Redang, misalnya, sebanyak 3.8 tan makanan telah disalurkan ke pulau itu yang mampu menampung keperluan 2,000 penduduk di pulau berkenaan jika terputus hubungan sepanjang musim tengkujuh.

Sekiranya bekalan tidak mencukupi, JKM akan mendapatkan bantuan daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membolehkan bantuan tambahan dihantar.

Persiapan rapi telah dibuat oleh kerajaan bagi menghadapi pelbagai kemungkinan pada Monsun Timur Laut ini dan ia sentiasa ditambah baik mengikut keperluan semasa.

Namun, kita tidak boleh menyerahkan tanggungjawab sepenuhnya kepada mereka.

Selain persiapan fizikal dan mental, orang ramai perlu sentiasa berjaga-jaga dan patuh kepada amaran pihak berkuasa sekiranya diarahkan berpindah kerana semua pertimbangan telah dibuat terutamanya atas faktor keselamatan.

* Farah Shazwani Ali ialah Wartawan Sinar Harian Edisi Terengganu