[VIDEO] Hari Kebajikan Haiwan beri impak positif

Pengunjung ‘bermanja’ dengan kucing yang dipamerkan sempena Sambutan Hari Kebajikan Haiwan 2019 di MAEPS.
Pengunjung ‘bermanja’ dengan kucing yang dipamerkan sempena Sambutan Hari Kebajikan Haiwan 2019 di MAEPS.
A
A
A

SERDANG - Hari Kebajikan Haiwan yang dianjurkan setiap tahun berjaya meningkatkan kesedaran masyarakat dalam menjaga kebajikan haiwan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan berkata, usaha itu mula membuahkan hasil kerana jumlah laporan kes kezaliman haiwan menurun sehingga 40 peratus berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Masyarakat mula sedar bahawa kebajikan haiwan adalah serius. Pada 2019 kita nampak penurunan drastik lebih kurang 40 peratus kes kezaliman kepada haiwan.

“Bermakna ada impak promosi kesedaran dan undang-undang ketat yang kita laksanakan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya kini memfokuskan untuk memberi kesedaran bermula dari peringkat sekolah melibatkan kanak-kanak dan remaja.

Dr Quaza Nizamuddin (tengah) bersama pengunjung yang memeriahkan Sambutan Hari Kebajikan Haiwan 2019 di MAEPS.
Dr Quaza Nizamuddin (tengah) bersama pengunjung yang memeriahkan Sambutan Hari Kebajikan Haiwan 2019 di MAEPS.

“Kita menganjurkan program ini pada setiap tahun sebagai mengingati dan menjalankan program kesedaran berkaitan kebajikan haiwan. Kita telah merancang pelbagai program pada tahun ini.

“Baru-baru ini kita juga telah melancarkan video animasi dan lagu berkaitan kebajikan haiwan supaya kita dapat terapkan kesedaran kepada kanak-kanak kecil,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Quaza Nizamuddin berkata, beberapa aktiviti yang dianjurkan juga bertujuan menunjukkan kepada masyarakat kepentingan haiwan dalam kehidupan manusia.

“Kami sediakan beberapa aktiviti untuk menunjukkan betapa pentingnya haiwan dalam kehidupan manusia. Itu semua adalah pendedahan dan memberikan kesedaran kepada kanak-kanak dan dewasa,” katanya.

Sambutan Hari Kebajikan Haiwan 2019 yang berlangsung selama dua hari di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) mendapat sambutan yang memberangsangkan dengan pelbagai aktiviti disusun untuk pengunjung.

Antara yang mencuri tumpuan ialah Pertandingan Kucing, Demonstrasi Anjing Bomba dan Penjara, Pertandingan Mewarna dan Pertandingan Bunyi Burung.

Kanak-kanak menyertai Pertandingan Mewarna yang dianjurkan sempena Sambutan Hari Kebajikan Haiwan 2019.
Kanak-kanak menyertai Pertandingan Mewarna yang dianjurkan sempena Sambutan Hari Kebajikan Haiwan 2019.