Aidil Sharin enggan salahkan pemain

Aidil Sharin - Foto: Malaysian Football League
Aidil Sharin - Foto: Malaysian Football League
A
A
A

PENGENDALI Kedah, Aidil Sharin Sahak menerima kekalahan dengan hati yang terbuka selepas gagal menyekat kemaraan skuad Harimau Selatan setelah tewas 0-3 kepada kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi final Piala Malaysia 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Menurutnya, sebagaimana sedia maklum bahawa bukan satu tugas mudah apabila bertemu JDT yang memiliki ramai barisan pemain yang berkualiti apatah lagi pada pertemuan itu skuad Lang Merah kehilangan tiga khidmat dua tonggak utama pasukan.

“Bukan senang bermain menentang JDT, mereka ada ramai pemain berkualiti manakala tiga tonggak utama kita Renan Alves, Rizal Ghazali dan Fernando Rodriguez tidak dapat bermain, tetapi itu bukan satu alasan dengan kekalahan ini.

"Bagaimanapun apa yang lebih penting ini adalah satu perjalanan yang sangat baik untuk semua pemain dan barisan kejurulatihan bermula dengan liga, Piala FA dan kini Piala Malaysia," katanya ketika ditemui sejurus tamat perlawanan.

Mengulas lanjut, Aidil Sharin mengakui barisan pemainnya telah memberikan aksi terbaik cuma pasukan lawan berjaya meraih tiga jaringan menerusi kombinasi pemain mereka, sepakan percuma dan gol ketiga kerana kealpaan benteng pertahanan pasukan.

Katanya, bukan sesuatu yang mudah untuk mempersiapkan benteng pertahanan yang ampuh dalam tempoh seminggu buat ketiga-tiga pemain baharu ditambah pula dengan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

"Inilah bola sepak apa juga boleh berlaku dan saya tidak menyalahkan para pemain dan sebagai ketua jurulatih saya bertanggungjawab sepenuhnya di atas kekalahan ini. Namun ia mungkin akan berbeza jika kami memiliki kesemua pemain terbaik pasukan.

"Apa pun kita saya sudah tahu di mana kelebihan dan kekurangan kita, tentu sekali kita akan kuatkan pasukan dengan apa yang kita perlukan musim depan. Paling penting buat kita ketika ini adalah untuk memulihkan diri seterusnya menjadi lebih baik musim depan," katanya.

Artikel Berkaitan: