Belanjawan NS perlu fokus pembangunan luar bandar

Ismail Ahmad
Ismail Ahmad
A
A
A

SEREMBAN - Pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2020 yang akan berlangsung penghujung bulan ini diharap memberi peruntukan lebih besar kepada pembangunan luar bandar.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Ismail Ahmad berkata, bagi mencapai pembangunan dan kemajuan di kawasan berkenaan seiring kawasan di bandar, masih banyak perkara perlu diberi keutamaan kerajaan negeri.

"Ia meliputi kemudahan yang perlu ditambah baik dan peningkatan infrastruktur di kawasan luar bandar termasuk pembinaan jalan dan pemasangan lampu.

"Pembinaan industri yang berlaku di kawasan bandar sekarang ini diharap dapat dialihkan pula ke kawasan kampung bagi membolehkan pembangunan seiring," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Perbincangan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pembuat-Pembuat dan Peniaga-Peniaga Perabot Negeri Sembilan Sesi 2020-2021 di pejabatnya di Taman Galena hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Persatuan Persatuan Pembuat dan Peniaga Perabot Negeri Sembilan, Leong Mun Kee.

Menurutnya, industri di kawasan kampung juga mengurangkan jurang perbezaan antara bandar dan luar bandar bagi memastikan pembangunan di kawasan kampung juga tidak ketinggalan.

Dalam pada itu, Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Labu berkata, projek perumahan mampu milik akan dibina dengan lebih banyak di kawasan luar bandar bagi membolehkan penduduk di kawasan kampung menikmati pembangunan.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, projek pertama Malaysian Vision Valley (MVV) 2.0 dijangka akan bermula pada April atau Jun 2020 oleh pemaju, Sime Darby Berhad.

"Projek ini akan dijadikan pemangkin kepada pembangunan di kawasan Labu, selain mahu menarik lebih ramai pelabur melabur di kawasan MVV," katanya.