Penyelamatan ‘pintu belakang’

A
A
A

PERSIDANGAN kemuncak korporat Permodalan Nasional Berhad (PNB) pada Rabu lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memetik ungkapan it is not the governtment's business to be in business. Ertinya bukan tugas kerajaan terbabit dengan perniagaan.

Namun begitu, tidak ada kerajaan di dunia yang tidak terlibat dengan ekonomi dan perniagaan. Hatta di negara yang mendakwa mengamalkan sistem kapitalis mutlak pun, kerajaan terbabit dengan pengurusan ekonomi.

Dr Mahathir berhak dan layak menyebut hal itu kerana beliau antara pemikir dan arkitek utama ekonomi Malaysia.

Jadi apa yang beliau sebutkan itu hendaklah dilihat dalam konteks ekonomi Malaysia dan pengalaman beliau sendiri sebagai peneraju ekonomi negara.

Biar apa pun yang kita katakan tentang ekonomi Malaysia dan sistem yang diamalkan, satu perkara yang tidak dapat dinafikan adalah kita antara negara yang berjaya memajukan ekonomi sambil kekalkan keamanan.

Apabila negara merdeka pada 1957, kita meneruskan dasar dan amalan ekonomi penjajah yang mengutamakan kepentingan Inggeris dan rakan niaga mereka.

Ketika itu, pembangunan sinonim dengan kawasan bandar. Hanya di bandar ada pelbagai kemudahan dikaitkan dengan pembangunan seperti telekomunikasi, pendidikan, kesihatan, pengangkutan dan kebajikan.

Dasar dan pemikiran itu dipecahkan pada tahun 1960-an apabila Almarhum Tun Abdul Razak Hussein sebagai Timbalan Perdana Menteri memperkenalkan Pembangunan Luar Bandar.

Artikel Berkaitan:

Agenda beliau mendapat anjakan besar dengan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru pada 1971.

Walaupun terpaksa menerima realiti ekonomi berpaksikan pasaran di mana peranan kerajaan mengecil dan terhad kepada aspek penggalakan dan pengawasan, namun kita masih perlukan peranan Tabung Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).Seperti kata Dr Mahathir, peranan mereka hendaklah tidak bercanggah atau membantutkan pertumbuhan sektor swasta.

Saya harap kenyataan Perdana Menteri itu tidak disalahertikan oleh swasta sebagai isyarat untuk melanggar, menceroboh dan menakluki GLIC dan GLC.

Malah Dr Mahathir sendiri menyarankan GLIC dan GLC melakukan inovasi agar dapat memangkin pertumbuhan ekonomi dan memacu sektor korporat. Kita tidak boleh lari daripada hakikat bahawa GLIC dan GLC berupa saluran penting penyertaan Bumiputera dalam pengurusan perniagaan.

Tanpa GLIC dan GLC, bumiputera akan kekal sebagai kerani dan pekerja pengeluaran tanpa berpeluang untuk menjadi ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan.

Kita juga tidak boleh lari daripada hakikat bahawa ekologi GLIC dan GLC menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan pembahagian kekayaan.

Sekarang ini sedang berlaku percubaan oleh sekumpulan pemodal bumiputera dan bukan bumiputera untuk mengambil alih syarikat milik GLIC atas alasan mereka lebih pandai menguruskan perniagaan dan memberi keuntungan besar kepada kerajaan.Saya dapat tahu bahawa GLC seperti Sime Darby Properties, UEM-Sunrise, Malaysia Airlines, FGV Holdings dan PLUS telah dan sedang menjadi sasaran penyerang-penyerang korporat.

Kita pula mengakui bahawa kerajaan sendiri menyatakan hasrat dan kemungkinan mengurangkan pegangan dalam sesetengah GLC.

Saya rasa kita perlu berfikiran terbuka. Jika ada GLC yang perlu dijual kerana membebankan kerajaan atau berpotensi menjadi lebih baik di bawah pemilikan dan pengurusan swasta, kita wajar menerima hakikat itu.

Keutamaan tentulah kepada pemodal tempatan atau gabungan swasta-tempatan.Yang kita tidak mahu dan wajib tentang habis-habisan ialah penyelamatan pintu belakang di mana syarikat swasta yang bermasalah membeli GLC kononnya memperkukuhkan keserasian.

Paling tidak kita kehendaki ialah penyerang-penyerang ini membuang pekerja, menjual aset dan menarik keluar GLC daripada Bursa Malaysia atas alasan penyusunan semula.

Janganlah gelar diri turnaround manager (pengurus pemulihan) kalau sekadar membuang pekerja, menguncupkan perniagaan dan merendahkan mutu produk.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara