RM38j baik pulih, naik taraf kuarters bomba

Zuraida Kamaruddin. - Foto Bernama
Zuraida Kamaruddin. - Foto Bernama
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM38 juta bagi membaik pulih serta menaik taraf 119 kuarters Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara tahun ini.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata ia adalah sebahagian usaha pihaknya bagi menjaga kebajikan serta memastikan pegawai dan anggota bomba yang tinggal di kuarters milik jabatan itu dalam keadaan selesa dan baik.

"Berhubung penyelenggaraan dan apa yang akan dibaik pulih serta dinaik taraf itu akan dilihat dalam masa terdekat supaya kerja-kerjanya dapat dijalankan segera, demi kepentingan mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penanti, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah JBPM Datuk Mohammad Hamdan Wahid dan Pengarah JBPM Pulau Pinang Saadon Moktar.

BBP Penanti yang merupakan balai ke-19 di Pulau Pinang dibina di atas sebidang tanah berkeluasan 1.13 hektar pada Disember 2016 dengan kos sebanyak RM2.38 juta dan siap sepenuhnya 9 Nov lepas sebelum dirasmikan hari ini.

BBP Penanti merupakan balai bomba kategori D dan pembinaannya merangkumi bangunan balai bomba, ruang jentera, pejabat pentadbiran, stor logistik dan kemudahan sokongan serta dapat memberi khidmat kebombaan, penyelamatan dan pengurusan keselamatan masyarakat mengikut keperluan sekitar Penanti dan kawasan jagaan seluas 68.54 kilometer persegi.

Terdahulu, Mohammad Hamdan dalam ucapannya berkata 28 BBP lagi akan dibina dan dinaik taraf serta dibaik pulih dengan kos RM160 juta pada tahun ini dan ia secara tidak langsung akan mempertingkat lagi keupayaan operasi kebombaan dan penyelamatan jabatan itu.

"Ketika ini terdapat 298 BBP di seluruh negara dan kami menyasarkan masa bertindak dapat ditingkatkan kepada 48.5 peratus pada tahun ini berbanding 47 peratus pada tahun 2018. Sasaran ini akan dapat dicapai apabila lebih banyak BBP dibina di seluruh negara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menyeru dan memberi peluang kepada anak-anak muda yang berminat untuk memohon jawatan sebagai Pegawai Bomba Bantuan (PBB) bagi membantu pihak JBPM dalam operasi.

"Ketika ini terdapat seramai 2,150 PBB di seluruh negara dan jumlah itu akan ditambah dari semasa ke semasa selari dengan pertambahan bilangan BBP baharu pada masa hadapan," katanya. - Bernama