Gua Tham Luang dibuka untuk pelawat

Orang ramai melawat gua Tham Luang selepas ia dibuka semula kepada pelawat kelmarin. - Foto AFP
Orang ramai melawat gua Tham Luang selepas ia dibuka semula kepada pelawat kelmarin. - Foto AFP
A
A
A

BANGKOK - Selepas lebih setahun kejadian menggemparkan dunia yang menyaksikan 12 remaja lelaki bersama jurulatih pasukan bola sepak Wild Boars terperangkap selama hampir tiga minggu dalam gua Tham Luang, kerajaan Thailand kini membuka semula gua itu kepada orang ramai.

Sejak usaha menyelamat tahun lalu, gua berkenaan telah ditutup kepada pelawat.

Menurut Pengarah Pejabat Pemuliharaan Tempatan, Kamolchai Kotcha, kira-kira 2,000 pelancong mengunjungi gua yang terletak di wilayah utara Chiang Rai itu dalam masa sehari selepas ia mula dibuka semula semalam.

"Kami telah membenarkan pelawat melihat sendiri mulut gua berkenaan," katanya.

Pengunjung bagaimanapun tidak dibenarkan melepasi pintu masuk buat masa ini namun pegawai tempatan sedang mempertimbangkan untuk membenarkan orang ramai masuk ke kawasan lebih dalam selepas memeriksa faktor keselamatan laluan tersebut.

Difahamkan, beberapa peralatan menyelamat yang ditinggalkan termasuk kabel telefon, hos dan zipline akan dipamerkan di dalam gua untuk dilihat oleh pelawat pada masa akan datang.

Menerusi gambar pada hari pembukaan, pelancong dilihat memenuhi tempat kejadian di mana basikal dan beg galas mangsa yang ditemui di kawasan itu memberi petunjuk kepada pihak polis tentang kemungkinan mereka di dalam gua terbabit.

Pada Jun tahun lalu, Wild Boars ke gua Tham Luang untuk aktiviti rutin selepas latihan bola sepak namun mereka terperangkap kerana hujan lebat menghalang satu-satunya jalan keluar.

Artikel Berkaitan:

Mereka ditemui dalam keadaan lemah selepas sembilan hari usaha mencari dilakukan.

28 November ini, filem pertama penceritaan semula usaha menyelamat gua Tham Luang bakal menemui penonton di Thailand di mana pelakon utama dilem tersebut adalah penyelam sebenar dari Thailand, Kanada, Finland dan China. - AFP