Jenayah internet masih berleluasa dan membimbangkan

Rosli (kiri) bersama Aidi (dua dari kiri) dan Lam Thye (kanan) melawat reruai semasa Program Townhall Discussion di UniSZA, hari ini.
Rosli (kiri) bersama Aidi (dua dari kiri) dan Lam Thye (kanan) melawat reruai semasa Program Townhall Discussion di UniSZA, hari ini.
A
A
A

KUALA NERUS - Kegiatan jenayah Internet di negara ini masih berleluasa dan berada pada tahap membimbangkan dengan kerugian berjumlah RM417.8 juta dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata, walaupun pelbagai kempen kesedaran termasuk melalui media sosial dibuat, masih ramai rakyat negara ini yang menjadi mangsa.

Menurutnya, polis menerima antara 25 hingga 30 laporan setiap hari melibatkan kes Macau Scam sahaja, tidak termasuk jenayah Internet lain seperti Love Scam.

"Kita melihat antara punca masih ramai yang menjadi mangsa adalah disebabkan rasa takut apabila mereka menerima panggilan daripada pihak-pihak tertentu yang menyamar bahawa mereka daripada bank, polis, Pejabat Peguam Negara dan sebagainya.

“Mangsa ini terdiri daripada pelbagai sektor masyarakat, malah turut melibatkan mereka yang mempunyai kehidupan yang baik dalam masyarakat dari segi ekonomi dan kedudukan.

"Sebab itu polis ambil pendekatan melalui townhall dengan terus kepada kumpulan sasar seperti Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), universiti, badan bukan kerajaan dan masyarakat setempat tentang apa yang mereka perlu tahu dan beri penekanan, selain sentiasa berwaspada," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Townhall Discussion yang diadakan di Universiti Sultan Zainal Abidin di sini, hari ini.

Turut hadir, Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye dan Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail.

Artikel Berkaitan:

Jelas Rosli, program townhall sebegitu diadakan secara berperingkat di seluruh negara dan pihaknya melihat keberkesanannya, baik dari segi kesedaran dan penurunan kadar jenayah.

Apabila kita buat townhall sebegini, masyarakat memberikan maklum balas yang cukup baik dan mereka tahu apa tindakan yang perlu diberikan perhatian.

Dari segi kadar jenayah secara keseluruhannya pula, sehingga 31 Oktober tahun ini, kadar jenayah di seluruh negara menunjukkan penurunan sebanyak 7.6 peratus.

“Penurunan jenayah ini bukan sahaja daripada program sebegini tapi dengan maklumat dan kerjasama pelbagai pihak terutamanya daripada masyarakat, badan bukan kerajaan dan MCPF sendiri, selain tindakan dalaman kita melalui penguatkuasaan, rondaan dan sebagainya," katanya.