RM6. 85 juta tak cukup atasi pencemaran sisa plastik di Kuala Langat

Shariffa Sabrina Syed Akil -Foto Bernama
Shariffa Sabrina Syed Akil -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) mendakwa peruntukan RM6.85 juta untuk pengurusan sisa pepejal dan sampah pukal strata oleh Kerajaan Negeri Selangor tidak mencukupi.

Presidennya, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, peruntukan dalam Belanjawan Selangor 2020 itu tidak mampu menyelesaikan pencemaran sisa plastik di Kuala Langat.

Menurutnya, kerajaan negeri juga tidak menyediakan peruntukan khusus bagi pemuliharan sungai dan tanah yang tercemar itu.

"Adakah dengan peruntukan sebanyak RM6.85 juta ini akan menyelesaikan isu sisa plastik dunia di daerah Kuala Langat?

"Pada 26 September tahun lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataannya membenarkan pengimportan sisa plastik dunia dengan mengenakan levi sebanyak RM15 satu tan.

"Adakah jumlah levi tersebut cukup untuk menampung kos kesihatan awam di Selangor termasuk 300,000 penduduk di Kuala Langat yang terdedah dengan masalah kanser dan pernafasan disebabkan sisa itu? soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kerajaan masih membenarkan pengimportan sisa plastik dan operasi industri kilang kitar semula dalam negara dengan peruntukan pemuliharaan alam sekitar yang kecil.

"Banyak usaha diperlukan bagi menghentikan penyeludupan sisa plastik dan sisa buangan bagi mencegah pencemaran di negara kita.

Artikel Berkaitan:

"Negara harus menampung masalah pencemaran udara termasuk menyediakan peranti pengawasan kualiti udara mencukupi dan efektif di kawasan industri yang kurang pemantauan, " katanya.

Pada masa sama katanya, pendidikan alam sekitar perlu lebih aktif bagi mengimbangi pembangunan dengan kepentingan penjagaan persekitaran semula jadi.

Menteri Besar, Amirudin Shari semalam mengumumkan peruntukan RM6.85 juta bagi pengurusan sisa pepejal dan sampah pukal strata dalam usaha memelihara keindahan serta kebersihan desa.

Ia sebagai dana dan kegunaan pihak berkuasa tempatan yang berdepan cabaran pengurusan kutipan sampah dan isu pembuangan sampah haram.

Terdahulu, dalam laporan Sinar Harian Disember lalu membongkar isu daerah Kuala Langat dijadikan tempat mengitar semula barangan plastik.

Terdapat timbunan longgokan sampah plastik dari negara luar antaranya China, New Zealand, Amerika, United Kingdom dan Switzerland di persisiran Sungai Langat di Pulau Carey.

Seorang aktivis dan wakil penduduk Jenjarom Kuala Langat, Pua Lay Peng turut mendakwa sekurang-kurangnya antara 80 dan 90 peratus kilang kitar semula plastik di Selangor beroperasi secara haram.