Polis kesan penghantar makanan ragut beg tangan wanita

Rakaman kejadian cubaan ragut tular di laman sosial.
Rakaman kejadian cubaan ragut tular di laman sosial.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cubaan seorang penghantar makanan meragut beg tangan seorang wanita di hadapan kondominium Seni Mont Kiara di sini, gagal apabila mangsa berjaya menarik semula beg tangannya.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang pada Khamis lepas itu, ​​​​​​​mangsa yang sedang berdiri di hadapan kondominium berkenaan telah didatangi penunggang motosikal yang membawa kotak penghantaran makanan sebuah syarikat lalu menyentap beg tangan wanita berkenaan.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin berkata, polis telah membuat semakan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian melalui penelitian awal video yang tular di media sosial.

"Rakaman CCTV mendapati kejadian itu adalah cubaan ragut. Seorang lelaki yang menunggang sebuah motosikal berpakaian seragam dan ada kotak penghantaran makanan cuba meragut beg tangan mangsa yang sedang berdiri di hadapan kondominium itu," katanya melalui kenyataan media.

Beliau berkata, melalui rakaman itu mangsa berjaya menarik kembali beg tangannya.

"Setakat jam 4 petang ini, kita masih belum menerima sebarang laporan polis berkaitan kejadian tersebut," katanya.

Zairulnizam menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika berjalan di kawasan persendirian dan tumpuan awam bagi mengelakkan menjadi mangsa jenayah ragut.

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian cubaan ragut boleh membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di talian 0322979222.

Artikel Berkaitan: