39 mayat dalam kontena dipercayai warga Vietnam

Polis telah mengenal pasti beberapa keluarga mangsa.
A
A

BELFAST - Seorang lagi lelaki berdepan tuduhan membunuh susulan penemuan menggemparkan 39 mayat di dalam sebuah kontena di kawasan perindustrian di Essex, timur London, menurut polis semalam.

Eamon Harrison, 23, dari Ireland Utara turut didakwa terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia dan melakukan kesalahan imigresen ketika dia tampil di Mahkamah Tinggi Dublin untuk prosiding bagi mengekstradisi suspek itu ke Britain.

"Dia akan ditahan sehingga 11 November ini," kata jurucakap mahkamah.

Sementara itu, polis mengesahkan kesemua mangsa dipercayai sebagai warga Vietnam, sekali gua menyangkal laporan awal yang menyebut mereka adalah rakyat China.

"Kami ada menghubungi beberapa keluarga di Vietnam dan UK. Kami telah mengenal pasti beberapa keluarga mangsa," kata jurucakap polis Essex, Tim Smith.

Di Vietnam, pihak berkuasa turut memberkas dua individu untuk membantu siasatan.

Sebelum ini, pemandu trak terbabit, Maurice Robinson, 25, yang juga dari Ireland Utara juga telah didakwa dengan pertuduhan membunuh kesemua mangsa termasuk lapan wanita selepas penemuan mayat tersebut dalam kontena yang dipercayai tiba di Britain dari Zeebrugge di Belgium pada 23 Oktober lalu.

Sehingga kini, polis belum mengesahkan punca kematian mereka. - Agensi