Insiden berbalas tembakan, letupan gegar Pattani

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PATTANI - Insiden berbalas tembakan dan letupan bom menggegarkan wilayah bergolak Pattani, selatan Thailand hari ini.

Dua lelaki dipercayai anggota kumpulan bersenjata, maut dalam insiden berbalas tembakan di Jalan Kampung Balak, Sai Buri, kira-kira 12.40 awal pagi (waktu tempatan) hari ini.

Ketua Polis Wilayah Pattani, Mejar Jeneral Jirawat Payoontham berkata, dalam insiden itu, kedua-dua lelaki berusia 42 dan 34 tahun itu ditemui maut, selepas kejadian berbalas tembakan dengan pihak keselamatan Thailand yang sedang bertugas di pos kawalan keselamatan.

“Kedua-dua lelaki yang sedang menaiki motosikal enggan berhenti untuk pemeriksaan dan cuba melarikan diri dengan melepaskan beberapa das tembakan ke arah pos kawalan.

“Renjer yang bertugas turut melepaskan tembakan dan terkena kedua-dua suspek. Mereka meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

“Polis menemui sepucuk pistol pada salah satu mayat,” katanya ketika dihubungi.

Tidak jauh dari tempat kejadian, Jirawat berkata, polis juga menemui satu objek yang mencurigakan.

“Unit pemusnah bom yang memeriksa objek tersebut mendapati ia adalah bom buatan sendiri seberat 30 kilogram yang dipasang pada tong gas memasak dan ia berjaya dimusnahkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, polis percaya kedua-dua lelaki itu mahu meletupkan bom buatan sendiri di pos kawalan keselamatan untuk mencederakan renjer yang sedang bertugas.

Sebelum kejadian itu, Jirawat berkata, kira-kira 6 petang semalam, sebuah kenderaan jenis pikap milik Majlis Pentadbiran Mukim Namdam disamun sekumpulan lelaki bersenjata.

Beliau berkata pikap, itu kemudiannya dipasang bom buatan sendiri seberat 50 kilogram dan diletupkan di perkarangan Balai Polis Mai Kaen, Pattani, kira-kira 10 malam.

“Lapan buah kenderaan, termasuk lima buah kenderaan polis rosak akibat letupan itu. Selain itu, bangunan balai polis dan bangunan kediaman polis turut mengalami kerosakan,” katanya.

Polis percaya keempat-empat kejadian itu dilakukan kumpulan sama. - Bernama