Anggota polis maut dalam serangan bom di Narathiwat

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

NARATHIWAT - Seorang anggota polis maut manakala seorang lagi cedera parah dalam insiden letupan bom di daerah Waeng di Narathiwat pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Waeng, Kolonel Somjai Singkliang berkata, kejadian berlaku kira-kira 10.45 pagi (waktu tempatan) ketika enam anggota polis sedang melakukan rondaan bermotosikal di Sungai Golok dengan dengan sempadan Bukit Bunga, Kelantan.

"Sebutir bom buatan sendiri dipasang pada tong gas dan ditanam di tepi jalan meletup setelah diaktifkan menggunakan walkie-talkie. Dua daripada enam anggota polis yang melakukan rondaan itu cedera parah dan dikejarkan ke hospital. Seorang anggota polis meninggal dunia di Hospital Waeng,” katanya.

Sementara itu, lapan anggota polis yang baru selesai melakukan rondaan cedera dalam insiden letupan bom di Saiburi, Pattani pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira 10.50 malam (waktu tempatan), Ketua Polis Bahagian Siasatan Jenayah Saiburi, Mejar Phawich Krajangsi berkata seramai 11 anggota polis menaiki dua buah kenderaan dalam perjalanan pulang ke Balai Polis Saiburi.

"Sebutir bom buatan sendiri yang dipasang pada tiang eletkrik di tepi jalan telah diaktifkan dan meletup ketika kedua-dua kenderaan itu melalui tempat kejadian. Lapan daripada 11 anggota polis itu mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, kesemua mangsa yang cedera dirawat di Hospital Pattani. - Bernama