Tiga mangsa bot karam warga Indonesia diselamatkan APMM

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
A
A

JOHOR BAHRU - Tiga lelaki warga Indonesia berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas bot perdagangan tukar barang dinaiki mereka karam akibat cuaca buruk di perairan Karimun Anak, Tanjung Balai dekat Indonesia pukul 11.30 malam tadi.

Pengarah Maritim Zon Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, kejadian berlaku ketika kesemua mereka dalam perjalanan dari Pelabuhan Batu Pahat menuju ke Kepulauan Karimun, Indonesia.

“Pihak Maritime Rescue Sub-coordination Centre (MRSC Johor Bahru) menerima laporan mengenai penemuan tiga lelaki sedang terapung di laut kira-kira tujuh batu nautika berhampiran Pulau Kukup pada pukul 7 pagi tadi oleh kapal persiaran mewah Genting Dream yang sedang melalui kawasan tersebut.

MRSC kemudian melancarkan satu operasi menyelamat (SAR) dan menghantar sebuah kapal maritim ke lokasi kejadian bagi membantu kesemua mangsa,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Aminuddin berkata, kesemua mangsa kemudiannya diserahkan kepada APMM pada 9 pagi oleh kapal persiaran berkenaan dan siasatan awal mendapati kesemua mangsa selamat dan tiada mangsa lain yang hilang.

“Pihak APMM telah menghubungi pihak berkuasa Badan Nasional Pencarian Dan Pertolongan (BASARNAS) Tanjung Pinang Indonesia untuk memaklumkan mengenai penemuan mangsa dan seterusnya untuk menyerahkan kesemua mangsa.

“Kesemua mereka telah diserahkan ke pihak berkuasa Indonesia pada pukul 11 pagi ini di sempadan perairan negara,” katanya.

Aminuddin berkata, sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan melalui talian MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Johor Bahru di talian 07-2199404. - Bernama