X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

Lelaki lari sekatan POCA jadi ketua geng pecah rumah

A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang lelaki yang didapati lari daripada perintah sekatan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) di Pengkalan Chepa Kelantan dikesan menjadi ketua geng pecah rumah di Taman Bidara, Machang Bubok di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, lelaki tersebut merupakan antara lapan suspek termasuk dua remaja yang sudah tidak bersekolah ditahan dalam satu serbuan jam 6 pagi tadi.

“Polis menerima satu laporan berhubung kejadian pecah di rumah sepasang suami isteri semalam yang membabitkan kerugian RM5,000.

"Ekoran itu, kami melancarkan operasi dan berjaya menahan lapan lelaki itu di sebuah rumah di Jalan Gajah Mati," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, kesemua suspek berusia antara 14 dan 29 tahun.

Nik Ros Azhan berkata, siasatan awal mendapati ketua geng berusia 29 tahun itu mempunyai sembilan rekod jenayah lampau dan didapati lari perintah sekatan POCA di Pengkalan Chepa, Kelantan dan datang semula ke Bukit Mertajam untuk melakukan kegiatan jenayah.

Katanya, semasa serbuan, semua suspek termasuk ketua geng yang merupakan pemilik rumah itu berada di situ dan polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan jenayah mereka.

Nik Ris Azhan berkata, antara barangan yang dirampas ialah pelbagai jenis telefon bimbit, bateri kereta, cakera keras luaran, sistem radio kereta, Smart Tag, kabel dan peralatan elektrik serta peralatan digunakan untuk kegiatan jenayah mereka, iaitu alat pemotong dan kunci 'Allen Key' yang telah diubah suai.

"Siasatan polis mendapati geng tersebut, selain terlibat pecah rumah, juga melakukan jenayah pecah dan mencuri kenderaan serta mencuri kabel.

“Kami juga sedang mengesan seorang lagi lelaki dipercayai kawan kepada ketua kumpulan tersebut yang berperanan menyimpan serta menjual kenderaan curi," katanya.

Beliau berkata, semua suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!