PKR Pahang adakan konvensyen di Kerdau Jumaat depan

WAN FAUZULDIN
WAN FAUZULDIN
A
A
A

KUANTAN - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang akan mengadakan Konvensyen di Kerdau pada 8 November depan.

Ketua Komunikasi PKR Pahang, Wan Fauzuldin Wan Samad berkata, konvensyen bertemakan Dua Dekad Merakyatkan Reformasi itu akan dihadiri Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, program ini diadakan sebagai momentum menjelang Kongres Nasional Keadilan yang dijangka diadakan awal Disember tahun ini di Melaka.

"Konvensyen pada tahun ini akan diadakan di Dewan Dato' Zaharuddin Abu Kassim, Kampung Peragap, Kerdau pada 8 November 2019 (Jumaat) bermula jam 6 petang sehingga jam 11.30 malam.

"Konvensyen kali ini turut dibuka kepada orang ramai bagi mengikuti ucapan-ucapan daripada pemidato yang terdiri daripada pelbagai golongan mewakili pelbagai peringkat seperti anak muda, wanita, mewakili masyarakat sivil, warga Felda, petani, nelayan serta golongan akademik dan profesional," katanya

Wan Fauzuldin berkata, pentas ucapan disediakan bagi golongan berkenaan untuk menyuarakan pandangan dan kritikan agar didengari pucuk pimpinan.

Menurutnya, pendekatan sedemikian sejajar dengan inspirasi dan roh perjuangan PKR yang tidak menyekat mana-mana suara atau kritikan membina demi kebaikan rakyat.

Antara yang dijangka berucap Pengarah Konvensyen Pahang, Rizal Jamin yang juga Timbalan Pengerusi PKR Pahang; Pengarah Konvensyen Pusat, Nik Nazmi Nik Ahmad; Pengerusi Majlis Perwakilan Negeri Pahang, Fuziah Salleh dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution.

Artikel Berkaitan: