Pulau Pinang bentang bajet defisit kesembilan sejak 2011

Kon Yeow (tengah) bersama Exco Kerajaan Pulau Pinang keluar dari dewan persidangan selepas pembentangan Belanjawan 2020 Pulau Pinang tadi.
Kon Yeow (tengah) bersama Exco Kerajaan Pulau Pinang keluar dari dewan persidangan selepas pembentangan Belanjawan 2020 Pulau Pinang tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan perbelanjaan sebanyak RM792.66 juta dengan anggaran defisit RM273.5 juta dalam Belanjawan 2020 Pulau Pinang tadi.

Pembentangan itu menjadikan ia sebagai bajet anggaran defisit kesembilan berturut-turut untuk negeri ini sejak 2011.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, anggaran defisit tersebut adalah rendah berbanding tahun ini yang berjumlah RM395.69 juta iaitu pengurangan sebanyak 30.88 peratus.

Menurutnya, anggaran defisit tahun 2020 berkurang kerana anggaran perbelanjaan mengurus hanya RM792.66 juta berbanding pada 2019 iaitu RM901.19 juta.

"Pengurangan pada tahun depan adalah sebanyak RM108.53 juta atau 12.04 peratus. Sebab utama pengurangan belanja mengurus ini adalah kerana caruman ke Kumpulan Wang Pembangunan Negeri bagi tahun 2020 dibajetkan sebanyak RM150 juta berbanding RM230 juta pada 2019.

"Pengurangan caruman ini adalah dengan mengambil kira penerimaan bayaran balik pinjaman daripada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) kepada kerajaan negeri pada tahun depan.

"Bagaimanapun, pengurangan caruman ini tidak akan menjejaskan projek pembangunan yang dirancang pada 2020," katanya dalam ucapan Belanjawan 2020 Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang di sini tadi.

Beliau berkata, belanjawan pembangunan bagi tahun 2020 adalah RM269.3 juta dengan penurunan sebanyak RM37.03 juta atau 12.08 peratus berbanding RM306.38 juta tahun ini.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun peruntukan pembangunan yang dibajetkan ini kurang sedikit berbanding 2019, namun ia telah mengambil kira keperluan projek-projek pembangunan negeri tahun 2020 serta tidak akan menjejaskan perancangan projek-projek utama kerajaan negeri yang telah komited.

"Di bawah anggaran mengurus 2020, sejumlah RM181.62 juta untuk emolumen, RM181.20 juta bagi perkhidmatan dan bekalan, RM4.25 juta bagi perolehan aset, RM421.36 juta untuk pemberian dan kenaan bayaran tetap dan RM4.23 juta bagi perbelanjaan lain. Perbelanjaan pemberian dan kenaan bayaran tetap kekal sebagai komponen terbesar mencakupi 53.16 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan mengurus kerajaan negeri.

"Jumlah ini termasuk caruman ke Kumpulan Wang Pembangunan Negeri sebanyak RM150 juta, bantuan sosial rakyat dan program-program kebajikan negeri berjumlah RM105 juta dan pemberian geran kepada agensi, badan berkanun negeri atau syarikat milik kerajaan sebanyak RM35 juta dan lain-lain," katanya.