Kontraktor rugi beli kereta tidak wujud

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Seorang kontraktor kerugian RM3,800 selepas membeli kenderaan tidak wujud yang diiklankan melalui sebuah laman iklan dalam talian kelmarin.

Mangsa yang berusia 31 tahun dari Maran datang ke kedai kereta di Petaling Jaya, Selangor untuk mengambil kereta jenis Perodua Kancil yang dibeli namun alamat kedai yang diberikan rupanya premis menjual kereta mewah.

Mangsa turut dimaklumkan pekerja di premis tersebut dia bukan orang pertama yang ditipu malah alamat premis itu sudah beberapa kali digunakan penipu terbabit untuk memperdaya mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, nasib malang menimpa mangsa bermula selepas dia melayari laman sesawang itu pada 29 Oktober lalu.

Menurutnya, mangsa tertarik dengan iklan sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang dijual pada harga RM3,800 dan berminat untuk membelinya.

"Mangsa menghubungi nombor telefon penjual (suspek) yang tertera pada iklan tersebut untuk berurusan tetapi dia dimaklumkan kenderaan tersebut sudah dijual.

"Suspek bagaimanapun menunjukkan mangsa gambar sebuah kereta model sama menggunakan nombor pendaftaran Terengganu yang dijual pada harga sama," katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa diminta membayar pendahuluan sebanyak RM500 jika berminat.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa membuat bayaran pendahuluan dan bayaran penuh pada petang 30 Oktober lalu melalui transaksi perbankan internet ke akaun atas nama seorang lelaki.

"Setelah bayaran penuh dibuat mangsa diberikan alamat sebuah kedai kereta di Petaling Jaya, Selangor dan dia diminta mengambil kenderaan tersebut di sana," katanya.

Beliau berkata, selepas dimaklumkan kereta dimaksudkan tiada di premis tersebut, mangsa cuba menghubungi suspek namun panggilan tidak berjawab.

Katanya, mangsa yang syak telah ditipu membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Suspek dipercayai menggunakan alamat kedai tersebut untuk mengaburi mata mangsa.

"Susulan kes itu polis sedang mengesan dua individu termasuk seorang wanita dipercayai pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes ini bagi membantu siasatan," katanya.