Seorang parah, enam cedera ringan nahas dua kenderaan

Seorang wanita cedera parah manakala enam lagi cedera ringan dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Kilometer 8, Jalan Jerantut-Temerloh, kira-kira jam 12 tengah hari pada Ahad. - Foto ihsan PDRM

A
A
A

TEMERLOH - Seorang wanita berusia 56 tahun parah manakala enam lagi cedera ringan dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Kilometer 8, Jalan Jerantut-Temerloh, kira-kira jam 12 tengah hari pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff memberitahu, kemalangan berlaku apabila kereta Proton Saga yang dipandu lelaki berusia 18 tahun dari arah Jerantut menghala ke Temerloh hilang kawalan.

"Kejadian itu menyebabkan kenderaan terbabit memasuki laluan bertentangan lalu dirempuh Perodua Myvi yang dipandu seorang wanita berusia 46 tahun.

Keadaan salah sebuah kenderaan yang remuk akibat kemalangan tersebut di KM8 Jalan Jerantut-Temerloh pada Ahad. - Foto ihsan PDRM
Keadaan salah sebuah kenderaan yang remuk akibat kemalangan tersebut di KM8 Jalan Jerantut-Temerloh pada Ahad. - Foto ihsan PDRM

"Akibat kemalangan itu, pemandu dan penumpang kedua-dua kenderaan terdiri tiga lelaki berumur 15, 18 dan 53 dan tiga lagi wanita berusia 20, 24 dan 46 tahun mengalami kecederaan ringan.

"Seorang penumpang kereta Proton Saga pula cedera parah dan menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Orang ramai yang melihat kejadian itu diminta tampil di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan atau menghubungi talian 09-2716086.