Permohonan pasport Musa Aman diketahui Isnin

Musa Aman
Musa Aman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menetapkan 7 Januari ini untuk memutuskan permohonan bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman untuk mendapatkan semula pasportnya dari mahkamah bagi mendapatkan rawatan di luar negara.

Hakim Rozina Ayob menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan peguam Amer Hamzah Arshad dan Ridha Abdah Subri serta hujahan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran.

Amer Hamzah ketika ditemui pemberita memaklumkan, beliau mengemukakan permohonan untuk mendapatkan semula pasportnya bagi membolehkan anak guamnya meneruskan rawatan ke luar negara.

"Anak guam kami perlu meneruskan rawatan susulan di United Kingdom dan Singapura atas beberapa masalah kesihatan, dan tidak ada kebarangkalian untuk anak guam melarikan diri kerana beliau telah memberikan kerjasama sepanjang siasatan," katanya.

Musa, 67, pada 5 November 2018 mengaku tidak bersalah 35 tuduhan rasuah berhubung kontrak konsesi balak di negeri Sabah membabitkan wang berjumlah AS$63.3 juta (RM263.46 juta) dan dibenarkan ikat jamin sebanyak RM2 juta.

Beliau turut diperintah menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga 35, Musa, sebagai Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah didakwa secara rasuah memperoleh suapan daripada pemilik konsesi Lim Nyuk Foh, Looh Chai Boon, Chia Tien Foh, Mazlan Zakaria, Lo Man Hen, Nasir Yeo Guan Hock, Ngui Ing Chuang dan Nip Wing Hon melalui pelbagai akaun di Hong Kong dan Singapura.

Ia didakwa sebagai dorongan kepada Pengerusi BN Sabah itu selepas memberikan kontrak konsesi balak Sabah kepada 16 buah syarikat.

Artikel Berkaitan:

Syarikat-syarikat tersebut ialah Boubtiful Returns Sdn Bhd, Syarikat Segar Tepat Sdn dan JV Lestari Sdn Bhd, Tamabina Sdn Bhd, Sabapiorneer Sdn Bhd, Danagaya Sdn Bhd, LR Enterprise Sdn Bhd, Lembah Mayang Sdn bhd dan Fast Progress Sdn Bhd, Maju Sinar Network Sdn Bhd, Syarikat Eden Region Sdn Bhd Gasing Selatan Sdn Bhd, Tetap Simfoni Sdn Bhd, Asiatic Lumber Industries Sdn bhd dan Eramewa Sdn Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Hong Kong iaitu Citi Bank Kowloon dan JP Morgan Chase Manhattan.

Musa, 67, turut didakwa melakukan kesalahan itu di Singapura iaitu HSBC Bank Ocean Tower Branch, HSBC Claymore Plaza, Credit Suisse dan Fortis Private Banking.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Subseksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 [Akta 575] dan boleh dihukum Seksyen 16 akta sama.

Musa berdepan dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.