KPWKM rangka jawatankuasa tangani keganasan rumah tangga: Wan Azizah

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Majlis Perasmian Kit Simulasi Usahawan Muda Pandan hari ini. -Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Menangani Keganasan Rumah Tangga yang kini dalam proses penubuhan akan membincangkan kaedah penyelarasan terbaik dalam menangani isu keganasan rumah tangga melalui libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, jawatankuasa di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) itu juga akan menjadi platform pemantauan dan penyelarasan antara agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menangani gejala itu.

"Selain itu, jawatankuasa ini merupakan pemudah cara dan perantara bagi memastikan perundangan berkaitan keganasan rumahtangga termasuk Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 [Akta 521], prosedur operasi standard agensi kerajaan serta garis panduan berkaitan keganasan rumah tangga dilaksanakan dengan baik dan berkesan," katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, kementerian fokus dalam usaha menambah bilangan taska khususnya di agensi kerajaan terlebih dahulu sebagai sistem sokongan keluarga sekiranya wanita ingin kembali bekerja.

Bagi meningkatkan bilangan taska yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), KPWKM bekerjasama dengan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim telah menawarkan diskaun 20 peratus bil elektrik taska yang berdaftar bagi tempoh bermula esok hingga 31 Disember 2020.

Beliau berkata, sehingga September 2019, sebanyak 16.6 peratus kerusi Ahli Lembaga Pengarah di sektor swasta telah diisi oleh golongan wanita manakala bagi sektor awam sebanyak 37.6 peratus wanita memegang jawatan pembuat keputusan di peringkat Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) C dan ke atas untuk tempoh sehingga Mei 2019.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata, kerajaan prihatin terhadap cabaran yang dihadapi oleh institusi keluarga terutama pasangan muda bekerjaya untuk mengimbangi keluarga dan kerjaya.

Oleh itu program Pendidikan Kemahiran Keibubapaan dan Kekeluargaan akan diteruskan tahun depan dengan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menawarkan pembiayaan kursus kemahiran keibubapaan dan perkahwinan kepada majikan swasta yang berdaftar dengan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF).

"Inisiatif baharu ini akan menggalakkan lebih ramai pekerja swasta mendapat akses kepada pengetahuan dan kemahiran keibubapaan melalui latihan dan kursus boleh diadakan di tempat kerja masing-masing," katanya.

Menyedari banyak masalah pasangan berkahwin berpunca kerana masalah kewangan, Dr Wan Azizah berkata, kementerian melalui LPPKN turut bekerjasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dalam membangunkan modul pra perkahwinan dalam talian iaitu ‘I Do You Do Duit Together’ pada September tahun ini.

Modul ini bertujuan membantu pasangan yang akan berkahwin berkaitan aspek pengurusan kewangan berdasarkan pendapatan selepas berkahwin, selain ia juga adalah langkah penambahbaikan kursus pra perkahwinan yang dilaksanakan oleh LPPKN.

Sementara itu, bagi membantu pasangan mendapatkan rawatan kesuburan, Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) akan memperkenalkan kategori pengeluaran baru bagi pasangan yang menjalani rawatan kesuburan seperti In-Vitro Fertilisation (IVF).

“Selain itu pelepasan cukai pendapatan sehingga RM6,000 yang diberikan ke atas perbelanjaan rawatan perubatan untuk penyakit serius akan diperluaskan untuk merangkumi kos rawatan kesuburan,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata, KPWKM akan melancarkan Deklarasi Keluarga Malaysia tahun ini dengan menggariskan komitmen keluarga Malaysia bagi membina Malaysia Baharu yang bersatu padu, bersih, kerukunan hidup serta mengamalkan nilai-nilai berperibadi mulia melalui keluarga yang sejahtera, sihat dan resilien. - Bernama