Lembu seludup tidak sempat dipelihara dirampas

Lembu yang ditahan ditempatkan di ibu pejabat MAQIS untuk tindakan lanjut.
Lembu yang ditahan ditempatkan di ibu pejabat MAQIS untuk tindakan lanjut.
A
A
A

TUMPAT - Hasrat seorang lelaki untuk memelihara lembu seludup tidak kesampaian apabila 24 ekor ternakan terbabit dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pisau Raut, Kuala Jambu di sini semalam.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kelantan, Mohd Azam Yahya berkata, lori berkenaan ditahan pada jam 2 pagi ketika anggota PGA menjalankan Ops Wawasan Kelantan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, pemandu lori berusia lingkungan 30 an itu baharu sahaja mengambil lembu berkenaan dari sebuah pangkalan haram yang dibawa masuk menerusi Sungai Golok.

“Hasil pemeriksaan lanjut didapati terdapat 24 ekor lembu yang dianggarkan bernilai RM48,000. Rampasan telah dibuat dan diserahkan kepada MAQIS untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Azam berkata, perbuatan mengimport lembu tanpa permit import sah dari MAQIS adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum dibawah Seksyen 11(3) dalam akta sama.

Katanya, jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun tahun atau kedua-duanya sekali.

“MAQIS bersama-sama agensi penguatkuasaan sempadan yang lain sentiasa mempertingkat kawalan pencegahan penyakit dan perosak serta komited dalam memastikan pengimport membawa masuk keluaran pertanian dengan mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Artikel Berkaitan: