1MDB: Amerika capai penyelesaian

Jho Low
Jho Low
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat telah mencapai penyelesaian untuk mendapatkan semula aset bernilai lebih AS$700 (RM2,924.250) juta yang diperoleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, atau Jho Low, dan keluarganya menggunakan dana yang didakwa diseleweng daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam satu kenyataan, DoJ berkata aset itu terletak masing-masing di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Switzerland.

Dengan muktamadnya penyelesaian itu, bersekali dengan pelupusan kes pelucutan hak sebelum ini, Amerika Syarikat akan memperoleh semula atau membantu dalam pemerolehan aset bernilai lebih AS$1 (RM4.2) bilion yang mempunyai kaitan dengan skim pengubahan wang haram antarabangsa dan rasuah 1MDB, menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut ini merupakan pemerolehan terbesar setakat ini di bawah Inisiatif Pemerolehan Aset Kleptokrasi jabatan berkenaan dan pelucutan hak sivil terbesar yang pernah diselesaikan oleh DoJ.

"Perjanjian penyelesaian ini mengakibatkan Low dan keluarganya terpaksa melepaskan beratus-ratus juta dolar yang diperoleh secara haram yang sepatutnya digunakan bagi manfaat rakyat Malaysia," kata Penolong Peguam Negara Brian A. Benczkowski daripada Bahagian Jenayah Jabatan Keadilan itu dipetik sebagai berkata.

Benczkowski menegaskan, ia memberi isyarat bahawa Amerika bukanlah tempat yang selamat bagi pelaburan yang diperoleh melalui rasuah.

Dalam kenyataan berasingan, Jho Low mengesahkan penyelesaian telah dicapai dengan kerajaan Amerika berhubung kes pelucutan hak sivil.

Menurutnya, ia menyelesaikan sepenuhnya dan selama-lamanya setiap tindakan sivil, jenayah dan pentadbiran atau prosiding kerajaan Amerika berkaitan dengan aset defendan yang menjadi isu itu di Daerah Tengah California.

Artikel Berkaitan:

Jho Low, bagaimanapun, menegaskan perjanjian itu tidak sepatutnya dianggap sebagai pengakuan bersalah, liabiliti atau sebarang bentuk salah laku oleh beliau atau pemilik aset.

Dalam kenyataan DoJ itu, peguam Amerika Nicola T Hanna daripada Daerah Tengah California menegaskan jumlah wang yang begitu besar diseleweng daripada 1MDB dengan kesannya ditanggung oleh rakyat Malaysia, dilaburkan secara haram melalui pembelian aset mewah di Amerika dan beberapa negara lain.

"Hasil daripada penyelesaian ini, seorang daripada lelaki yang didakwa berada di tengah-tengah skim besar-besaran ini akan kehilangan semua akses kepada beratus-ratus juta dolar," kata Hanna.

Sementara itu, Penolong Pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Terry Wade berkata, penyelesaian dengan Jho Low itu membuktikan komitmen berterusan FBI untuk membanteras habis-habisan penipuan dan sikap mementingkan diri individu yang berkonspirasi untuk memberi rasuah serta memindahkan secara haram dana kepunyaan rakyat Malaysia.

Kenyataan DoJ itu menyebut berdasarkan aduan pelucutan hak sivil dari 2009 hingga 2015, lebih US$4.5 bilion dana kepunyaan 1MDB didakwa diseleweng oleh pegawai tertinggi 1MDB dan sekutu mereka, termasuk Jho Low, menerusi konspirasi jenayah membabitkan pengubahan wang haram antarabangsa dan rasuah.

Berdasarkan terma penyelesaian itu, Jho Low, anggota keluarganya dan FFP, sebuah entiti Kepulauan Cayman yang bertindak selaku pemegang amanah yang menyelia aset yang menjadi isu dalam tindakan pelucutan hak ini, bersetuju untuk melepaskan semua aset tertakluk kepada penyelesaian aduan perlucutan hak yang mana mereka mempunyai potensi kepentingan.

Aset yang tertakluk kepada perjanjian penyelesaian itu termasuk hartanah di kawasan mewah di Beverly Hills, New York dan London, sebuah butik mewah di Beverly Hills serta berpuluh-puluh juta dolar dalam bentuk pelaburan perniagaan yang didakwa dilakukan oleh Jho Low menggunakan dana yang boleh dikesan asalnya daripada wang 1MDB yang diseleweng.

DoJ berkata aset yang dilucut hak tertakluk kepada penyelesaian itu adalah tambahan kepada aset bernilai hampir AS$140 (RM584.8) juta di Amerika yang sebelum ini dilucut hak berkaitan dengan pelaburan Jho Low dalam entiti perniagaan yang mempunyai hubungan dengan Park Lane Hotel di New York, di samping sebuah kapal layar mewah bernilai lebih AS$120 (RM501.3) juta yang dirampas oleh pihak penguat kuasa undang-undang di Indonesia atas permintaan jabatan itu dan diperoleh semula oleh pihak berkuasa Malaysia secara langsung daripada Indonesia.

"Berikutan muktamadnya penyelesaian ini, beberapa aduan pelucutan hak sivil yang timbul daripada konspirasi jenayah 1MDB kekal tertunggak, membabitkan aset yang mempunyai kaitan dengan rakan konspirasi lain yang disyaki," menurut kenyataan itu.

Ia turut merakamkan penghargaan atas bantuan penting yang disediakan oleh Jabatan Peguam Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di samping pihak berkuasa di Singapura, Switzerland serta Luxembourg.

Kenyataan itu turut menyebut Jho Low menghadapi pertuduhan berasingan di Daerah Timur New York kerana berkonspirasi untuk memindah secara haram berbilion dolar yang diseleweng daripada 1MDB, berkonspirasi untuk melanggar Akta Amalan Rasuah Negara Asing dengan memberi suapan kepada beberapa pegawai, dan di Daerah Columbia kerana berkonspirasi untuk membiayai dan menyembunyikan pengagihan semasa kempen pilihan raya presiden Amerika 2012.

"Perjanjian itu tidak membebaskan mana-mana entiti atau individu daripada difailkan atau berpotensi menghadapi pertuduhan jenayah,” kata DoJ. -Bernama