SMK Panggung Jaya sekolah pertama orang asli Kelantan

Syahbuddin (lima dari kiri) bersama rombongan termasuk wakil masyarakat orang asli meninjau kawasan sekolah berkenaan kelmarin.
Syahbuddin (lima dari kiri) bersama rombongan termasuk wakil masyarakat orang asli meninjau kawasan sekolah berkenaan kelmarin.
A
A
A

GUA MUSANG - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panggung Jaya yang terletak di Kampung Panggung Lalat menjadi sekolah pertama untuk anak orang asli di Kelantan.

Mampu memuatkan sehingga 700 pelajar dan kemudahan 400 pelajar di asrama, sekolah ini bakal dibuka pada tahun hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, pembinaan sekolah yang menelan kos sehingga RM50 juta akan menyelesaikan masalah penempatan pelajar di kampung pedalaman.

Katanya, sebelum ini anak-anak orang asli di kawasan pedalaman terpaksa dipecahkan kepada beberapa sekolah menengah lain iaitu SMK Tengku Indera Petra 1 dan 2, SMK Seri Wangi, SMK Tengku Bendahara, SMK Bandar Chiku dan SMK Chiku 2.

"Pembinaan sekolah ini bermula pada Oktober 2016 dan terletak di laluan utama Gua Musang berhampiran Kuala Betis.

"Sebelum ini pelajar terpaksa diagihkan ke beberapa sekolah dan ia sekaligus melibatkan kos yang sangat tinggi dari segi pengangkutan yang disediakan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

"Ini adalah langkah penyelesaian kerajaan terdahulu dalam memastikan anak-anak orang asli dapat memberikan tumpuan penuh kepada pelajaran tanpa memikirkan jarak jauh dari keluarga," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan dan tinjauan ke sekolah berkenaan kelmarin.

Artikel Berkaitan:

"Hasil lawatan mendapati pembinaan ini telah siap namun ada beberapa penambahbaikan yang mungkin mengambil masa kurang sebulan.

"Saya amat berharap agar ianya dapat disiapkan secepat mungkin bagi kemasukan pelajar pada sesi persekolahan tahun hadapan," katanya lagi.

SMK Panggung Jaya menjadi sekolah pertama orang asli di Kelantan.
SMK Panggung Jaya menjadi sekolah pertama orang asli di Kelantan.