'Import bahan mentah, orang tengah punca harga melambung'

Barisan panel Wacana Sinar ke-137 Barangan Buatan Malaysia: Persepsi dan Peranan Pengguna Malaysia, semalam.
A
A

JOHOR BAHRU - Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menyarankan kerajaan mengurangkan import bahan mentah bagi mengurangkan kebergantungan dari negara luar.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Yazid Othman berkata, mengimport dan orang tengah ini menjadi punca utama harga barang melambung.

"Kerajaan perlu cari jalan bagaimana untuk mengurangkan orang tengah ini yang meningkatkan kos. Pengeluar dapat sedikit sahaja tapi apabila sampai kepada pengguna, margin naik beratus kali ganda. Seharusnya kita cari jalan menggunakan teknologi mengurangkan kesan kos kepada rakyat.

"Kos meningkat juga sebab banyak bahan mentah kita import. Contohnya, makanan ayam yang mempengaruhi harga ayam. Ayam dibela dan disembelih di Malaysia tapi kenapa harga naik? Sebab makanan ayam diambil dari negara seberang.

"Jadi pada akhirnya, apabila pengguna sedar dan kerajaan menyokong, kita perlu pastikan ekosistem kita lebih mempunyai kedaulatan. Semua benda kita boleh buat, kita buat dalam negara jadi kita kurang kebergantungan kepada luar dan dapat kurangkan impak daripada kesan krisis kewangan atau isu-isu perang perdagangan," katanya.

Ahmad Yazid Othman
Ahmad Yazid Othman

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Wacana Sinar ke-137 Barangan Buatan Malaysia: Persepsi dan Peranan Pengguna Malaysia di Johor Bahru, malam tadi.

Beliau turut menekankan kepentingan pengguna membeli produk tempatan bagi memastikan rakyat di negara ini terus mempunyai pekerjaan.

"Pengguna bukan sahaja mempunyai kuasa bagi menentukan beli barang murah tapi juga beli barang buatan Malaysia. Sokongan kepada industri tempatan.

"Kalau semua beli barang luar, siapa nak beri kerja kepada kita? Kalau semua veli barang luar, macam mana PKS (Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana) nak memberi gaji (pekerjaan) kepada rakyat kita?

"Pengguna juga pekerja, jadi kita seharusnya melihat pengguna ini dari skop yang lebih luas untuk menggunakan kuasanya," katanya.