Rakyat masih tidak gunakan 'kuasa di tangan pengguna'

Darshan Singh (dua dari kanan) ketika menjadi panel pada Wacana Sinar di sini hari ini.
Darshan Singh (dua dari kanan) ketika menjadi panel pada Wacana Sinar di sini hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pengguna di Malaysia tidak menggunakan kuasa mereka untuk menentukan harga barangan di negara ini.

Presiden Persatuan Pergerakan Pengguna Malaysia, Darshan Singh berkata, walaupun pelbagai kempen dijalankan termasuk kuasa di tangan pengguna dan belilah barangan buatan Malaysia namun ia tidak dihayati pengguna.

Menurutnya, kempen belilah barangan buatan Malaysia walaupun telah lama diperkenalkan namun pengguna di negara ini dilihat tidak menghayati maksud dan kepentingannya.

"Kita ada 33 juta pengguna tapi 33 juta ini tidak menyokong produk buatan Malaysia maka bagaimana ekonomi nak berkembang?

"Perkara ini sangat berkait rapat dengan pembangunan ekonomi di Malaysia. Kita banyak import barangan luar yang sebenarnya kita perkasakan ekonomi negara yang kita import itu.

"Kuasa di tangan pengguna juga kita tak hayati. Pengguna sebenarnya boleh tentukan. Macam India, Amerika Syarikat penduduk ramai, mereka gunakan kuasa pengguna.

"Jika berdepan masalah ekonomi dunia pun, mereka tetap boleh berfungsi sebab kuasa pengguna kuat," katanya ketika menjadi panel Wacana Sinar ke-137 Barangan Buatan Malaysia: Persepsi dan Peranan Pengguna Malaysia di sini hari ini.

Beliau turut menasihatkan pengguna supaya menggunakan kuasa untuk menurunkan harga barangan yang mahal.

Artikel Berkaitan:

"Kena ingat, pengguna yang menyediakan permintaan. Kita mengadu kata kedai A mahal tapi masih pergi lagi kedai yang sama.

"Kalau kedai mahal, sepatutnya pengguna tak pergi ke kedai tersebut. Kalau tak ada permintaan, mereka akan ubah strategi bagi memenangi semula hati pengguna dengan turunkan harga atau tutup," katanya.

Dalam pada itu, katanya syarikat tempatan juga perlu peka dengan permintaan pengguna termasuk memastikan produk keluaran mereka inovatif dengan bungkusan yang menarik serta harga berpatutan.

"Syarikat tempatan perlu sentiasa peka dgn permintaan pengguna. Produk perlulah inovatif, berkualiti dan paling penting kos berpatutan. Sekiranya kos barangan luar lebih murah, pengguna akan beli barangan dari luar.

"Penjenamaan produk dan pembungkusan itu penting untuk tarik pengguna. Kalau diberi perhatian serius, dengan kuasa pengguna ekonomi negara dapat diperkasakan," katanya.