Mahasiswa diberi kebebasan tapi perlu ada rasa tanggungjawab: PM

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) berusaha memberi ruang kebebasan kepada mahasiswa melalui pelbagai pendekatan namun ruang kebebasan itu harus disertai dengan rasa tanggungjawab sewajarnya.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, setiap kebebasan yang mahasiswa mahukan harus disemai dengan nilai-nilai yang baik dan diiringi dengan integriti tinggi.

“Kebebasan itu seperti kemerdekaan, amat bernilai. Jika ia tidak diisi dengan nilai serta adab yang baik, kebebasan itu menjadi kosong dan tidak bermakna atau pun membawa erti besar.

“Mahasiswa hendaklah meletakkan nilai integriti sebaris dengan nilai rasional supaya apa jua tindakan diambil atas prinsip kebebasan masih di bawah nilai-nilai kesopanan, kesusilaan dan norma-norma kebudayaan masyarakat kita.

“Setiap perkara yang diputuskan hendaklah jauh dari desakan emosi, membuta tuli atau pun hasutan pihak lain agar darjat dan kedudukan mahasiswa tidak dipertikaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) yang turut dihadiri Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik di Pusat Konvensyen Antarabangsa di sini hari ini.

Beliau berkata, apabila mahasiswa dilihat sebagai tunggangan sesuatu kelompok berkepentingan, jati diri serta hormat masyarakat terhadap mahasiswa sebagai pelapis kepimpinan negara, masa depan akan tercalar.

Sehubungan itu katanya, MPPK merupakan simulasi latihan yang terbaik kepada mahasiswa sebagai persiapan kepada mahasiswa untuk menjadi pelapis kepimpinan negara pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

Malah Perdana Menteri berkata, peluang berkenaan juga terhad kepada pemimpin mahasiswa yang dilantik melalui pilihan raya di setiap institut pengajian tinggi.

"Mesyuarat MPPK merupakan pendedahan awal di dalam menyerlahkan kewibawaan mahasiswa untuk mentafsir dan menilai sesuatu perkara dari pelbagai sudut.

“Kekhilafan dalam membuat keputusan akan memberikan impak yang sangat besar terhadap kesejahteraan negara.

“Oleh itu, mesyuarat MPPK merupakan medium terbaik untuk mendidik mahasiswa daripada membuat keputusan terburu-buru dan tidak dicapai dengan kepanasan darah muda,” katanya.