Orang muda kena cerdik, ada rasa ingin tahu - Adam Adli

Dialog Siswa yang dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim yang berlangsung di Unisel Bestari Jaya pada Rabu. - Foto Sinar Harian/ MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Dialog Siswa yang dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim yang berlangsung di Unisel Bestari Jaya pada Rabu. - Foto Sinar Harian/ MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Golongan muda perlu menyalurkan kelebihan mereka dengan mengangkat nilai-nilai murni ketika menyampaikan sesuatu pandangan dan pendapat.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, ramai pihak berpandangan bahawa anak muda seharusnya mempunyai adab dan tatasusila, namun mereka juga wajar bersikap cerdik dan mempunyai rasa ingin tahu.

"Ada orang kritik di mana orang muda memang kurang ajar tetapi paling penting mereka kena cerdik, kritis dan ada pengetahuan selain mempunyai sifat ingin tahu, rajin serta seronok belajar.

"Belajar bukan hanya masuk kuliah dan buat 'assignment' (tugasan) semata-mata tetapi belajar nak cari ilmu dari masa ke masa di samping membezakan perkara yang betul dan salah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Dialog Siswa yang berlangsung di Dewan Senat Unisel, Kampus Bestari Jaya pada Rabu.

Adam Adli menjadi tetamu kedua selepas Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam program yang dihoskan Syuhaida Ariffin.

Dalam pada itu, Adam berkata, semua pihak mempunyai ruang dan platform untuk bersuara, menyatakan pendapat serta mengkrutik memandangkan pada masa ini merupakan zaman media sosial.

"Zaman untuk kita dengar kritikan dan kemudian kita 'koyak', dengar kritikan nak ambil tindakan, nak abaikan... itu dah lama berakhir.

"Zaman ini di mana setiap individu ada suara masing-masing tetapi bagi saya suara tersebut harus dikumpul.

"Suara itu harus ada kebersamaan barulah ada suara yang lebih kuat didengari terutama oleh kerajaan dan ini saya galakkan," jelasnya.