'UMNO perlu ada pendirian untuk menegur' - Mohd Puad

Mohd Puad
Mohd Puad
A
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO perlu mempunyai pendirian untuk menegur mana-mana menteri dalam Kerajaan Perpaduan yang dilihat 'gagal' melaksanakan tanggungjawab.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, teguran adalah untuk memastikan kerajaan terus kuat.

"Pada saya, UMNO juga kena ada pendirian iaitu jika berlaku perkara-perkara yang melampaui batas.

"Seperti ada di kalangan menteri itu tidak cekap, tidak pandai mengurus dan tiada idea baharu. Takkan lah kita hendak biarkan, mereka juga perlu ditegur," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas selesai majlis perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada malam Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan agar pemimpin dan ahli mengkritik menggunakan saluran parti.

Mohd Puad dalam masa sama mengakui, dalam zaman media sosial ketika ini, amat sukar untuk 'menyekat' mana-mana pihak untuk menyuarakan pandangan.