Tiada syarat baharu pemandu lori perbaharui lesen memandu: JPJ

Shaharuddin (kanan) menunjukkan borang yang digunakan bagi tujuan permohonan lesen vokasional JPJ.
Shaharuddin (kanan) menunjukkan borang yang digunakan bagi tujuan permohonan lesen vokasional JPJ.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan bahawa tiada pindaan borang atau syarat baharu bagi urusan pemeriksaan kesihatan pemandu lori yang ingin memperbaharui lesen vokasional.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, bagi urusan tersebut JPJ masih menggunakan Borang JPJL8 yang digunakan sejak 1994 lagi.

Menurutnya, aspek pemeriksaan kesihatan yang ditetapkan bagi urusan tersebut juga masih sama dan tertakluk kepada ketetapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan di bawah bidang kuasa pegawai perubatan yang melakukan pemeriksaan.

"Bagi permohonan lesen vokasional pemohon perlu mengisi borang JPJL8 A manakala borang untuk pembaharuan masih menggunakan borang lama iaitu JPJL8.

"Di dalam borang JPJL8A pihak JPJ hanya menukarkan borang pemeriksaan kesihatan yang sedia ada kepada borang baru yang mana terdapat penambahan pemeriksaan seperti tekanan darah, jantung, mata, pendengaran dan lain lain mengenai tahap kesihatan pemohon. Itu sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JPJ Pahang di Indera Mahkota di sini hari ini.

Shaharuddin berkata, mengenai caj pemeriksaan kesihatan ia tertakluk kepada Kementerian Kesihatan dan klinik tempat pemeriksaan dibuat.

"JPJ menegaskan tidak ada isu menaikkan harga pemeriksaan kesihatan untuk tujuan memperbaharui lesen vokasional ini oleh JPJ," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu tular hasutan mogok yang berbaur ugutan oleh pengusaha dan pemandu lori berhubung pembaharuan lesen vokasional yang dikatakan naik harga.

Shaharuddin berkata, susulan daripada itu JPJ telah membuat laporan polis pada 24 Oktober lalu dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

JPJ menyeru serta menasihatkan pengusaha dan pemandu lori agar tidak terpengaruh dengan aktiviti yang boleh mengancam ketenteraman awam kerana ia memberi impak negatif terhadap ekonomi dan sosial negara.