Maqis Kelantan rampas 1,000kg ayam sejuk beku

Anggota Maqis memeriksa ayam sejuk beku yang dirampas.
A
A

RANTAU PANJANG - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kelantan merampas sebanyak 1,000 kilogram (kg) ayam sejuk beku sepanjang bulan ini.

Pengarahnya, Mohd Azam Yahya berkata, ayam sejuk beku yang dirampas itu tidak mempunyai dokumen import sah, sijil kesihatan dan halal dari negara asal iaitu Thailand.

"Sepanjang bulan ini empat kes rampasan membabitkan ayam sejuk beku dicatat. Ia menunjukkan peningkatan berbanding bulan-bulan lalu iaitu satu kes untuk September dan dua kes pada Ogos," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, kejayaan itu dicapai hasil kerjasama erat antara Maqis Kelantan bersama agensi penguatkuasa yang mengawal sempadan Malaysia-Thailand bermula dari Pengkalan Kubor (Tumpat) ke Bukit Bunga (Jeli).

Katanya, pihaknya akan terus melipat gandakan operasi membanteras aktiviti penyeludupan ayam sejuk beku daripada menerobos masuk ke Kelantan pada masa-masa hadapan.

Mohd Azam berkata, perbuatan mengimport ayam beku tanpa mempunyai permit import yang sah dari Maqis adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) dalam Akta yang sama.

Katanya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Mohd Azam berkata, pada 20 Oktober lalu pihaknya menerima sebanyak 620 kotak ayam beku yang cuba diseludup masuk ke Kelantan melalui pangkalan haram di Sungai Golok oleh Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) membabitkan nilai rampasan sebanyak RM80,000.