Raja Thailand pecat empat lagi pegawai istana

Maha Vajiralongkorn
A
A

BANGKOK - Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn memecat empat lagi pegawai, menurut dua pengumuman daripada istana semalam dalam satu rombakan terkini selepas pelucutan kesemua gelaran yang dipegang oleh peneman diraja minggu lalu.

Dalam satu pengumuman, dua pegawai istana yang dikenal pasti sebagai pengawal kamar tidur, dipecat atas 'kelakuan sangat kejam' dan 'melakukan zina' yang dikatakan mencabuli kod tatalaku bagi pegawai istana.

Dalam satu lagi dokumen, dua pegawai tentera dipecat kerana cuai dalam melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengawal istana dan 'berkelakuan tidak wajar dengan pangkat dan gelaran yang dipegang'.

Kesemua empat pegawai berkenaan dilucutkan pangkat dan gelaran mereka, menurut pengumuman tersebut.

Pemecatan mereka dibuat selepas enam pegawai istana dipecat minggu lalu kerana dituduh atas salah laku disiplin serius membawa kemudaratan kepada perkhidmatan diraja.

Sejak naik takhta menyusuli pemergian ayahnya yang sangat dihormati pada 2016, Raja Vajiralongkorn terbukti seorang raja berperlembagaan yang tegas.

Beliau mengambil alih kawalan langsung urusan kerajaan dan harta lumayan diraja selain memindahkan dua unit tentera dari tentera ke pengawal peribadinya.

Minggu lalu, raja itu juga melucutkan pangkat diraja dan ketenteraan peneman diraja beliau, Sineenat Wongvajirapakdi, dalam satu pengumuman mengejutkan iaitu hanya beberapa bulan selepas wanita berkenaan mendapat gelaran tersebut.

Sineenat dituduh 'tidak setia' dan mewujudkan persaingan dengan Permaisuri Suthida Bajrasudhabimalalakshana, yang berkahwin dengan Raja Vajiralongkorn pada Mei selang beberapa hari sebelum pertabalannya

ARTIKEL BERKAITAN: Raja Thailand lucut gelaran diraja, pangkat ketenteraan peneman diraja

Raja Thailand pecat enam pegawai istana