X

Kindly register in order to view this article
!

RUU dana politik dibentang di Parlimen tahun depan

Vui Keong
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan dijangka membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) dana politik pada sesi Dewan Rakyat tahun hadapan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.

Beliau berkata, pada masa ini jabatan itu masih menunggu kesemua kementerian terlibat memberikan maklum balas dan cadangan sebelum perkara berkenaan dikemukakan kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen.

"Memandangkan perkara ini melibatkan parti-parti politik, adalah lebih baik ia dibawa kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen untuk meneruskan perbincangan dan proses ini akan mengambil masa sedikit," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Vui Keong berkata, RUU itu akan memberi fokus kepada aspek pengawal seliaan sumbangan politik, yang menjadi asas dalam usaha menghapuskan rasuah dan membentuk ekosistem bebas rasuah dalam kalangan generasi akan datang berdasarkan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan integriti.

Mengenai cadangan supaya parti politik diberikan sumber peruntukan untuk bergerak, serta bayaran RM10 dibayar kepada parti untuk setiap undi yang diperoleh pada pilihan raya, beliau berkata, kerajaan akan mengambil maklum perkara itu.

Dalam perkembangan lain, Vui Keong berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang melaksanakan urusan mengemaskini daerah-daerah mengundi yang baharu di Sarawak bagi membolehkan suruhanjaya itu menyediakan tempat mengundi bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 akan datang.

Katanya, persediaan SPR turut merangkumi penyediaan keperluan, belanjawan pilihan raya, perolehan peralatan, kemudahan logistik, taklimat dan latihan kepada petugas pilihan raya, libat urus bersama agensi kerajaan dan parti politik serta keperluan lain yang berkaitan.

"Selain mengadakan lawatan ke semua pusat mengundi di Sarawak, SPR dengan kerjasama Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) sedang mengkaji penambahbaikan dan pembaharuan yang akan dilaksanakan semasa pilihan raya," katanya.

Berhubung kes kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, Vui Keong berkata, terpulang kepada pihak keluarga anggota bomba itu mendapatkan nasihat daripada peguam bagi sebarang tindakan undang-undang sivil.

"Sekiranya ada kecuaian bukan sahaja terhadap kerajaan tetapi sesiapa sahaja, dan sekiranya dikenal pasti identiti mereka yang terlibat dalam perkara ini, maka saya rasa tindakan sivil boleh diambil terhadap mereka.

"Keluarga Muhammad Adib juga boleh merujuk kepada Jabatan Bantuan Guaman untuk mendapatkan nasihat dan bantuan seterusnya," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus